Tidak perlu pertikai kerjasama Umno-Pas

Shahanim Mohamad Yusoff
Shahanim Mohamad Yusoff
A
A
A

SUNGAI PETANI - Umno Bahagian Sungai Petani menegaskan bahawa kerjasama antara Umno Pas tidak perlu dipertikai malah melabelkan kenyataan yang dikeluarkan MCA sebagai tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, MCA sepatutnya lebih bersikap realistik dan melihatkan kerjasama tersebut dari sudut pandang yang lebih luas demi kepentingan semua pihak.

Menurutnya, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sepatutnya tidak perlu mempertikaikan kerjasama Umno Pas untuk berhadapan dengan kerajaan Harapan.

“Malah adalah suatu yang amat mengejutkan apabila beliau melabelkan Umno sebagai mengkhianati pendirian BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, baru-baru ini, MCA melalui presidennya dilihat melahirkan kegusaran mengenai pendekatan Umno yang dilihat mesra dengan Pas bagi menghadapi kerajaan baharu.

Beliau berharap MCA akan lebih bersikap realistik dan melihat hubungan antara Umno dan Pas adalah demi kepentingan semua pihak.

“Sebagai contoh, ketika pembentukan Pakatan Rakyat, DAP sebagai sebuah parti ‘chauvinist’ sanggup menerima Pas sebagai rakan bagi berdepan dengan kerajaan BN suatu ketika dahulu.

“Hasil kerjasama tersebut BN telah hilang beberapa kerusi parlimen dan Dun selain keyakinan rakyat berjaya dihakis sedikit demi sedikit. Malah majoriti masyarakat Cina yang menyokong DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu juga tidak melihat kerjasama tersebut sebagai satu ancaman kepada kepentingan masyarakat Cina,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid khianat semangat perikatan BN?]

Artikel Berkaitan:


[ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Umno boleh bersama pertahan Islam: Hadi]


Oleh sebab itu, Umno Bahagian Sungai Petani mengambil pendirian menyokong kerjasama Umno - Pas bagi mewujudkan kesatuan bangsa Melayu dalam berdepan dengan kerajaan Harapan.

“MCA harus sedar, sebagai sebuah parti yang mempunyai hanya satu kerusi parlimen, parti itu harus menjadi sebuah parti yang berjiwa besar dan memberi peluang kepada Pas untuk bekerjasama dalam sebuah gabungan Umno-Pas-MCA-MIC untuk memastikan BN terus relevan.

“Andai DAP Pernah Memberi Peluang kepada Pas, tidak ada sebab kenapa Pas tidak boleh diberi peluang untuk bersama BN.

“MCA seharusnya mengambil pendekatan seperti MIC yang melihat kerjasama dengan Pas itu demi kelangsungan BN walaupun parti itu dilihat tidak sehaluan dengan BN sebelum ini,” katanya.