Peniaga hilang ditemui terapung

Mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumah sejak 15 Jun lalu.
Mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumah sejak 15 Jun lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mayat seorang peniaga ditemui terapung berdekatan sungai dekat Bandar Seri Astana, kira-kira 500 meter dari rumahnya, 4.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian disedari orang awam yang melalui kawasan terbabit selain terhidu bau busuk sebelum menyedari terdapat satu objek terapung di lokasi kejadian.

Menurut Adzli, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh kira-kira dua minggu berdasarkan keadaan fizikal selain bahagian belakang yang reput disyaki dicederakan binatang buas.

"Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 57 tahun yang dilaporkan hilang oleh isterinya pada 15 Jun lalu," katanya.

Beliau berkata, selain wang tunai berjumlah RM22, kad pengenalan turut ditemui dalam dompet mangsa.

"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumah dan meletakkan motosikal sebelum keluar berjalan kaki.

"Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya membuat laporan polis tentang kehilangannya," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Artikel Berkaitan: