'Tunggu kenyataan rasmi kedudukan Azhar Azizan'

Takiyuddin, Dr Azmi Sharom
Takiyuddin, Dr Azmi Sharom
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan atau maklumat secara rasmi mengenai kedudukan Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun setakat ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, oleh demikian, tiada sebarang komen dapat diberikan mengenai perkembangan Azhar Azizan yang dikatakan akan dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof.

“Minta maaf, tapi saya tak dapat apa-apa maklumat secara rasmi, jadi saya tak akan buat komen,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika dihubungi menerusi pegawai medianya berkata, status Azhar Azizan akan dimaklumkan selepas mendapat maklumat rasmi.

“Setakat ini, masih tunggu makluman rasmi daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata pegawai media Takiyuddin ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Sebelum ini, laporan media tempatan mendakwa terdapat beberapa individu bukan ahli Parlimen dikaitkan dengan cadangan menggantikan tempat Mohamad Ariff menjelang berlangsungnya kembali sidang Parlimen bulan depan.

ARTIKEL BERKAITAN Status Pengerusi SPR masih jadi tanda tanya

Selain Azhar Azizan yang disebut-sebut pilihan utama, nama bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut dikaitkan dengan jawatan penting Dewan Rakyat itu bersama seorang lagi bekas peguam.

Menurut laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris, sumber terdekat mendedahkan pemilihan pemimpin bukan ahli Parlimen diutamakan kerajaan Perikatan Nasional bagi dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana kerajaan baharu itu memerlukan penglibatan setiap ahli Parlimen menyokongnya di kerusi persidangan.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber akhbar itu, penglibatan setiap daripada mereka penting bagi memastikan usul undi tidak percaya kepimpinan Muhyiddin dikemukakan Pakatan Harapan tidak berhasil.

"Muhyiddin amat memerlukan penglibatan semua ahli Parlimen di kerusi Parlimen masing-masing sewaktu persidangan berlangsung.

"Justeru, Speaker (Yang Dipertua) Parlimen perlu dilantik dalam kalangan bukan ahli Parlimen," kata sumber.

Isu pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga kini dianggap sulit dengan Muhyiddin dikatakan boleh membuat keputusan mengejut pada saat akhir.

Terdahulu, persidangan Parlimen bermula 13 Julai hadapan dikatakan bakal menyaksikan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) 'menukarkan' Mohamad Ariff dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Timbalannya, Nga Kor Ming dari DAP yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan PH.

Bagaimanapun, seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong PN pula akan dikekalkan.

Difahamkan, terdapat dua usul dikemukakan Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada petang Jumaat lalu bagi 'menyingkirkan' kedua-dua pemimpin itu.

Berdasarkan maklumat daripada sumber terdekat kerajaan, usul itu dikemukakan Muhyiddin sangat lewat dan hanya 10 minit sebelum tempoh tamat penghantaran usul iaitu jam 5 petang.

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang bakal dikosongkan, terdapat spekulasi mendakwa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said antara nama disebut-sebut untuk menggantikan Kor Ming.

Namun begitu, spekulasi itu disifatkan Azalina sebagai tidak matang kerana usul menggantikan dan memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu perlu dikemukakan di Parlimen terlebih dahulu.

Sinar Harian melaporkan kenyataan Pakar Undang-Undang, Profesor Datuk Salleh Buang yang menegaskan usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya tidak melanggar doktrin pemisahan kuasa, sebaliknya sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, usul tersebut sememangnya boleh dilakukan oleh Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Badan Legislatif) di bawah Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, usul bagi pertukaran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pula boleh dilakukan Muhyiddin mengikut Perkara 57 (2A) Perlembagaan Persekutuan dengan bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.