'Lantik Pengerusi SPR sebagai Speaker satu norma baharu'

Idris - Foto Bernama
Idris - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu disifatkan sebagai satu norma baharu yang perlu diterima sekiranya ia adalah benar.

Exco Melaka yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, cadangan itu dilihat tepat kerana jawatan Pengerusi SPR sepatutnya adalah neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Pengerusi SPR sepatutnya individu bersikap neutral yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik cuma jika dalam kaedah peruntukan terpaksa bergantung kepada keputusan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Status Pengerusi SPR masih jadi tanda tanya

Perjelas cadangan Pengerusi SPR sebagai Speaker Parlimen baharu

“Jadi apabila individu tersebut menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, dia sebenarnya berpeluang melihat hasil kerja tangannya secara fizikal.

“Ada 222 Parlimen bawahnya ketika pilihan raya. Akhirnya beliau bertemu 222 ahli Parlimen dalam Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Terdahulu, persidangan Parlimen bermula 13 Julai hadapan dikatakan bakal menyaksikan usaha kerajaan Perikatan Nasional 'menukarkan' Mohamad Ariff dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Timbalannya, Nga Kor Ming dari DAP yang dilantik pada pentadbiran kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional pula akan dikekalkan.

Difahamkan, terdapat dua usul dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada petang Jumaat lalu bagi 'menyingkirkan' kedua-dua pemimpin itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu yang layak menjawat jawatan tersebut, Idris berkata, individu berkenaan perlu neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti seperti bekas peguam negara atau bekas hakim negara.

“Saya lihat kalau mahu mencari orang yang neutral setakat ini yang saya kenali semuanya mempunyai latar belakang politik. Semua yang berkebolehan adalah daripada parti politik. Mungkin kalau ada pun mereka yang telah meninggalkan sistem Parlimen,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, mungkin individu yang dicadangkan itu berdepan dengan 'conflict of interest' maknanya sebagai Pengerusi SPR atau Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh berprasangka dan menyimpan dendam, 'neither fear nor favor' pada ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Bimbangnya jika dia selaku pengerusi SPR adakah pada masa yang sama terpaksa lepaskan jawatan tersebut atau sebaliknya, namun saya pasti ia tidak menjadi sebarang halangan kepada individu yang dicadangkan itu," katanya.