PRK Chini: Polis Pahang puas hati perjalanan undi awal lancar

Anggota Polis Koperal Mohd Izani Che Yusoff, 56, memasukkan kertas undi dalam peti ketika mengundi awal bagi PRK DUN Chini di Balai Polis Chini hari ini. -Foto Bernama
Anggota Polis Koperal Mohd Izani Che Yusoff, 56, memasukkan kertas undi dalam peti ketika mengundi awal bagi PRK DUN Chini di Balai Polis Chini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berpuas hati dengan proses Pengundian Awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri DUN Chini yang diadakan di Balai Polis Chini hari ini.

Beliau berkata, seramai 17 daripada 18 anggota dari Balai Polis Chini dan Paloh Hinai menunaikan tanggungjawab mereka mengundi bermula jam 8 pagi tadi dan selesai sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.

Menurut Abd Jalil, seorang anggota tidak keluar mengundi kerana individu berkenaan adalah bekas anggota dan namanya masih didaftarkan sebagai pengundi awal di DUN Chini.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dilaksanakan hari ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dtetapkan termasuk pemeriksaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakkan sosial.

"Saya berharap hari pengundian yang dijadualkan pada 4 Julai ini dapat berlangsung dengan keadaan yang baik tanpa sebarang perkara tidak diingini dan mengikut SOP norma baharu ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini, Pekan.

Peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di Lokap Paloh Hinai dan akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 4 Julai ini.

Artikel Berkaitan: