Kerajaan peruntuk RM243 juta bina Rumah Mesra Rakyat

Ismail (tengah) bersama 31 pemohon RMR pada Majlis Jom Raikan RMR 2020 bersama peserta Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Baru Salong, Chini hari ini.
Ismail (tengah) bersama 31 pemohon RMR pada Majlis Jom Raikan RMR 2020 bersama peserta Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Baru Salong, Chini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan memperuntukkan RM243 juta bagi membina 2,983 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, sehingga Mei lalu, sebanyak 94,638 permohonan diterima dan akan dinilai oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 51,746 permohonan yang memenuhi syarat telah diluluskan.

"Setakat ini sebanyak 46,576 unit RMR berjaya disiapkan, 2,516 unit dalam proses pembinaan dan 2,654 permohonan sedang dalam peringkat dokumen perjanjian.

"Saya difahamkan sebanyak 35,928 permohonan ditolak dan sebanyak 6,969 permohonan kini masih di dalam peringkat senarai menunggu," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jom Raikan RMR 2020 bersama peserta Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Baru Salong, Chini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Pada majlis itu, seramai 31 pemohon RMR di Parlimen Pekan menerima surat makluman kelulusan permohonan mereka.

Ismail berkata, berdasarkan statistik semasa, Pahang adalah negeri yang kelima tertinggi di seluruh negara dengan jumlah permohonan sebanyak 9,899.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,579 diluluskan dan 4,009 unit sudah disiapkan.

"Saya perhatikan akhir-akhir ini RMR menjadi idaman, igauan dan minat penduduk terutamanya mereka yang berada di bawah (kategori) B40 dan M40 ini.

"Kerajaan cukup prihatin dan cukup serius untuk memberikan perhatian bagaimana kita boleh menambah lagi pembinaan rumah-rumah RMR pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk menambah peruntukan bagi pembinaan lebih banyak RMR pada pembentangan Belanjawan 2021.