X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda BN, Pas buat laporan polis buku hina Jata Negara

Muhammad Azri (dua kiri) bersama Pemuda BN dan Pas buat laporan berhubung kulit hadapan buku didakwa hina Jata Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pas membuat laporan polis berhubung kulit hadapan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Exco Pemuda UMNO Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berkata, isu sebegini boleh menggugat ketenteraman awam.

"Saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara terperinci berhubung kes ini.

'Saya difahamkan buku ini diterbitkan pada tahun lalu, adakah buku ini mendapat kelulusan daripada KDN atau dijual di luar negara," katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizam Abdullah Hamidi, Exco Pemuda PAS, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; Exco Pemuda MCA, Lim Soon Pin dan setiausaha Pemuda MIC, G Theeageesh.

Sementara itu, Mohamed Nizam meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengambil tindakan tegas terhadap pereka grafik kulit buku berkenaan.

"Kita minta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pereka yang menghina lambang negara.

"Ia bukan soal agama dan bangsa, tapi soal tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang memandang serius terhadap isu ini," katanya.

Mohamed Nizam menyifatkan, kulit hadapan buku yang mirip Jata Negara itu memberi gambaran merendah-rendahkan taraf Jata Negara dan memberikan gambaran buruk tentang negara kepada pembaca buku tersebut.

"Saya mengesyaki rekaan kulit buku itu sengaja dibuat begitu untuk merendahkan taraf lambang rasmi negara selain bermotifkan politik untuk menghasut kebencian kepada negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faizzuddin pula memaklumkan, kes itu sebagai percubaan awal untuk memberikan ancaman kepada negara.

"Kita percaya ini hanya permulaan dan akan datang lagi 'serangan' yang lebih dahsyat kepada negara kita.

"Apa mesej kami? Mesej kami ialah 'enough is enough!' Sehingga setakat ini saja mereka boleh melampaui batas," tegasnya.

Dia turut memberi amaran agar tiada pihak yang 'melanggar lampu merah'.

"Kita akan menganjurkan perhimpunan yang lebih besar daripada Himpunan Icerd sekiranya perkara ini berlanjutan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus