Pekerja pembersihan sekolah dakwa lewat dibayar gaji

Pekerja pembersihan sekolah mendakwa lewat menerima gaji dan gaji dipotong hingga menjejaskan sumber pendapatan.
Pekerja pembersihan sekolah mendakwa lewat menerima gaji dan gaji dipotong hingga menjejaskan sumber pendapatan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 21 pekerja pembersihan di lima sekolah di daerah ini mendakwa syarikat kontraktor gagal membayar gaji dalam tempoh ditetapkan sejak Mei lalu.

Lebih malang, ada dalam kalangan pekerja mendakwa gaji diterima mereka dipotong majikan sehingga 20 peratus.

Seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Rokiah (bukan nama sebenar) berkata, keadaan itu memberi tekanan kepadanya terutama dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi.

Malah, katanya, gaji bulan Mei yang sepatutnya diterima melalui serahan tangan pada 7 Jun, tetapi syarikat kontraktor hanya membayar pada 24 Jun lalu.

"Mengikut undang-undang, syarikat harus membuat bayaran seperti yang tertera pada borang perjanjian syarikat.

"Dalam tempoh lebih sebulan kami tidak dibayar gaji oleh pihak syarikat hingga menjejaskan sumber pendapatan kami.

"Bayangkan dalam tempoh itu, bagaimana kami hendak buat persiapan Hari Raya Aidilfitri terutama dalam keadaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah yang berstatus ibu tunggal berkata, selain lewat menerima bayaran gaji, dia dan pekerja lain di sebuah sekolah dikenakan denda dengan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja gaji yang dibayar lewat, tapi amat menyedihkan syarikat memotong gaji kami atas alasan pihak sekolah tidak berpuas hati dengan pihak syarikat yang tidak menghantar peralatan secara mencukupi.

"Bagaimana kami hendak membuat kerja jika peralatan yang diperlukan tidak dibekalkan kepada pekerja," katanya.

Seorang lagi pekerja pembersihan, Ayuni (bukan nama sebenar) berkata, dia terjejas dengan keadaan itu terutama masih menanggung lima anak yang masih bersekolah.

Katanya, dia hilang sabar apabila gaji diterimanya sebanyak RM973 pada pembayaran Mei lalu dipotong syarikat terbabit.

"Gaji kami sebelum ini pernah juga dipotong tapi dalam kadar yang sedikit, tapi kali ini melampau dan beri kesan kepada pendapatan bulanan," katanya.

Seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Wahidah (bukan nama sebenar) berkata, dia berharap agar nasib pekerja pembersihan di sekolah diberi perhatian serius kerajaan.

Katanya, rata-rata mereka berpendapatan rendah dan mereka bekerja dengan tujuan mencari sumber pendapatan bagi menyara kehidupan.

"Sampai bila nasib kami ditindas dan mohon perkara ini diberi perhatian apatah lagi kami masih bimbang berikutan masih belum menerima bayaran gaji bulan Jun ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata, beliau bersimpati dengan nasib dialami pekerja pembersihan di sekolah terlibat.

Justeru katanya, beliau berharap syarikat kontraktor bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan konflik dialami pekerja terbabit.

"Kita juga meminta supaya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam campur tangan dalam hal ini bagi memastikan kebajikan pekerja ini diberi pembelaan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap syarikat ketika dihubungi berkata, perkara itu dalam tindakan dan berusaha menyelesaikan rungutan pekerja dengan segera.

"Kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada penyelia dan membuat semakan melalui PPD Sabak Bernam bagi memastikan kebajikan pekerja dapat diberi keutamaan," katanya.