Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional, Selasa ini

Annuar melihat proses menyediakan kuih akok yang diusahakan Muhammad Shamil di Peringat.
Annuar melihat proses menyediakan kuih akok yang diusahakan Muhammad Shamil di Peringat.
A
A
A

KOTA BHARU - Buat pertama kalinya Sekretariat Muafakat Nasional secara rasminya akan mengadakan mesyuarat bersemuka secara formal pada Selasa ini, bagi membincangkan soal pengukuhan dan hala tuju gabungan parti itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak terkecuali kemungkinan besar tiga parti utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas akan turut menyentuh soal pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun tarikh pilihan raya belum ditentukan lagi.

Menurutnya, perjumpaan di lokasi yang tidak dapat didedahkan itu bakal berlangsung pada jam 8 malam tanpa melibatkan presiden parti dan mesyuarat berkenaan diadakan atas cadangan bersama kesemua parti terlibat berdasarkan keperluan semasa.

“Saya tidak perlu bersembunyi yang mana pada Selasa ini, sekretariat tiga parti terdiri daripada Bersatu, Pas dan UMNO akan bertemu buat pertama kali secara formal.

“Lima orang daripada setiap parti yang mendukung Perikatan Nasional sudah dipilih mewakili parti masing-masing untuk kita bincang secara adik-beradik persiapan-persiapan parti dan apa pendirian serta sebagainya.

“Bincangkan hala tuju dan strategi. Apa yang perlu kita lakukan. Saya fikir banyak perkara yang sangat mendesak, soal pandangan kita berhubung dengan pilihan raya, pandangan kita bagaimana bentuk kerjasama nak dipraktikkan termasuk dalam soal pilihan raya dan juga cara kita urus ketidak persamaan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengadakan lawatan ke gerai Akok Pok Long yang diusahakan seorang anak muda, Muhammad Shamil Mohd Sukri yang juga bekas penuntut Takushoko Universirty, Tokyo di Peringat hari ini.

Menurut beliau, selain mesyuarat secara berterusan setiap dua minggu sekali membabitkan ketiga-tiga parti tersebut, pihaknya juga telah membuka Sekretariat Muafakat Nasional di Tingkat 36 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Annuar berkata, pertemuan Selasa ini akan mengukuhkan lagi kerjasama tiga parti yang sudah sangat kukuh sekarang ini kerana setiap perkara perlu dibincangkan secara terperinci demi kelangsungan perjuangan.

“Kita tidak boleh tembak dari jauh walaupun dalam bentuk 'friendly fire'. Itu tidak diperlukan dan kena dijauhkan. Sebab kita percaya konfigurasi politik yang baharu ini perlu diasuh, perlu dididik dan dibimbing secara berperingkat-peringkat.

“Penting sekali kita mesti 'consolidated' penyatuan tunggak utama Bersatu, Pas dan UMNO. Itu yang kita akan lakukan kerana kestabilan parti induk itu adalah penting bagi negara,” katanya.

Katanya, rakyat telah meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan yang ada ini untuk menstabilkan negara dan dengan itu bagi mengelak keresahan di peringkat rakyat, kerajaan perlu mengelak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah serta memfokuskan menyelesaikan masalah komuniti.

“Sekarang ini banyak bercakap dari jauh, malu-malu sedangkan kita duduk dalam satu jemaah menteri yang sama, kita berada dalam Kabinet yang sama tetapi bincang soal kerajaan. Apabila soal parti kita juga mesti duduk secara bersama,” katanya.