Pemandu rempuh gerai makan disahkan mabuk

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

AMPANG - Polis mengesahkan pemandu Perodua Myvi berusia 42 tahun yang merempuh sebuah gerai di Lorong Perak, Taman Melawati di sini malam tadi mempunyai tahap kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Mohd Azam Ismail berkata, pemeriksaan di dalam kereta lelaki yang bekerja sebagai jurutera itu turut menemui dua tin minuman beralkohol.

“Jurutera itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar dua buah kenderaan yang diparkir sebelum merempuh gerai makan di tepi jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam lagi, seorang pelanggan gerai berusia 50 tahun mengalami kecederaan di muka kerana terkena serpihan meja.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Beliau berkata, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 03-92740112 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebuah kedai makan di Lorong Perak, Taman Melawati di sini mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kereta malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Pemilik kedai, Othman Ahmad, 60, berkata, kedai makannya mengalami kerosakan teruk manakala meja, kerusi makan dan tiang patah akibat rempuhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Myvi rempuh kedai makan