Cukuplah kesyukuran di masjid: Mahfuz

Mahfuz (kanan) pada sidang media selepas merasmikan konvensyen tersebut.
A
A

IPOH - Perhimpunan dirancang diadakan 8 Disember ini disifatkan sebagai tidak ada hala tuju sedangkan kerajaan sudah mengeluarkan kenyataan rasmi tidak meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan meneruskan himpunan itu menunjukkan niat sebenar penganjur untuk mempolitikkan isu ICERD yang bertujuan menghalang kebanjiran sokongan Melayu Islam kepada Amanah dan PH.

“Saya boleh bersetuju kalau demonstrasi ada hala tuju. Ini nak buat kesyukuran. Kesyukuran bukan perlu kepada demonstrasi besar nak dikerah kepada satu tempat di Dataran Merdeka.

“Kalau nak bersyukur buat di masjid, surau kenduri pisang dan pulut sudah cukup. Kita sujud syukur atas keputusan Kabinet dan buat di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan ke-3 Amanah Perak yang turut dihadiri Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas keputusan Pas dan Umno untuk meneruskan himpunan pada 8 Disember yang pada asalnya bertujuan membantah ratifikasi ICERD.

[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan diteruskan, kerajaan gagal tunjuk kesungguhan]

Menurutnya, tindakan meneruskan himpunan tersebut membebankan ahli Pas dan Umno yang terpaksa menyertainya.

“Ini satu penganiayaan dan membebankan ahli-ahli Pas dan Umno dengan duit ringgit tambang bas, tinggal kerja dan tinggal keluarga, bagi saya membazir waktu.

“Jangan bawa elemen dan sentimen yang akhirnya membawa kerugian kepada negara kita. Kalau berlaku bergaduhan kaum seperti 13 Mei dalam negara kita, satu kerugian.,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada pembangunan negara dan ekonomi yang semakin berdepan masalah akibat pengurusan kerajaan terdahulu.

Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengeluarkan kenyataan untuk tidak meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum sewaktu pembentukan negara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]