Liverpool luar biasa!

Alexander-Arnold (kiri) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol sulung Liverpool di Anfield awal pagi tadi.
Alexander-Arnold (kiri) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol sulung Liverpool di Anfield awal pagi tadi.
A
A
A

RENTAK Liverpool ketika membenam Crystal Palace 4-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

Menurut pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, ia merupakan corak permainan terbaik skuad The Reds yang pernah disaksikannya sepanjang saingan musim ini.

“Bayangkan sekiranya Anfield hari ini penuh dengan kehadiran para penyokong Liverpool, pastinya mereka dapat merasai suasana perlawanan yang cukup menakjubkan.

“Begitupun, saya percaya momentum perlawanan tidak akan jadi sebegini sekiranya pemain-pemain tidak meningkatkan prestasi mereka pada tahap optimum dibantu dengan keadaan padang yang baik.

“Kami selesa di depan dengan 4-0 sehingga minit ke-87 tetapi para pemain masih bersemangat memburu gol. Inilah yang saya mahukan daripada pemain-pemain.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya mahu pemain-pemain mempamerkan corak permainan counter pressing terbaik di stadium tanpa penonton, hari ini mereka telah membuktikannya di Anfield,” katanya.

Jaringan Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah, Fabinho dan Sadio Mane sudah cukup buat The Reds mengukuhkan cengkaman mereka di takhta liga dengan berkelebihan 23 mata mengatasi penyandang juara, Manchester City.

“Para pemain telah mempamerkan corak permainan luar biasa. Apa pun sejujurnya anda perlu tenang apabila berdepan situasi sebegini dan sebenarnya sepakan percuma Trent adalah pencetus semangat pemain-pemain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Alexander-Arnold pula menyifatkan keazaman untuk mengakhiri kemarau 30 kejuaraan liga menjadi pencetus semangat The Reds menampilkan prestasi terbaik mereka.

“Kami banyak belajar selepas aksi menentang Everton. Hasilnya dibuktikan dengan keputusan ke atas Crystal Palace. Dengan komitmen tinggi dan kurang membuat silap, ia antara prestasi terbaik kami musim ini,” jelasnya.