Kandang lembu 'mahligai' lima beranak

Kandang lembu jadi ‘mahligai’ mereka sejak lapan tahun lalu.
Kandang lembu jadi ‘mahligai’ mereka sejak lapan tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tatkala terik mentari, kehangatannya membahang, apabila gerimis pula, hujan membias sehingga kuyup kesejukan, bahkan keadaan hidup seharian diancam pula dengan kehadiran binatang berbisa seperti ular tedung.

Demikian situasi dilalui lima sekeluarga di sebuah rumah kecil di Kampung Kuala Besar, Badang yang pada asalnya hanya sebuah kandang lembu yang kemudian diubah suai untuk dijadikan tempat berlindung untuk mereka sekeluarga.

Keperitan hidup dilalui seorang buruh, Nasarudin Mat Ali, 39, dan isterinya, Nur Syazana Ali, 30, diharungi bersama tiga anak mereka yang berusia dari 13 tahun hingga empat tahun.

Menurut Nasarudin, kandang lembu milik Allahyarham bapanya itu menjadi ‘mahligai’ mereka sejak lapan tahun lalu selepas rumah ibunya, Fatimah Hassan, 75, yang ditumpangi sebelum ini musnah dalam kebakaran pada 2012.

Nasarudin (dua, kanan) bersama isteri, Nur Syazana (kiri) dan anak sulung, Muhamad Hakimi serta bongsu, Nawfal Basri tinggal di dalam rumah kecil mereka.
Nasarudin (dua, kanan) bersama isteri, Nur Syazana (kiri) dan anak sulung, Muhamad Hakimi serta bongsu, Nawfal Basri tinggal di dalam rumah kecil mereka.

“Rumah yang terbakar itu sudah diganti baharu tetapi saiz lebih kecil daripada asal dan kerana tidak mahu menyusahkan ibu, saya pilih untuk tinggal di kandang yang diubah suai berhadapan rumah ibu ini.

“Saya dibantu oleh adik-beradik menambah binaan lantai papan, bumbung dari atap zin dan mendirikan dinding dengan tingkap menggunakan kayu terpakai. Cuma tidak ada tandas dan kami tumpang membuang air di tandas rumah ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Anak sulungnya, Muhamad Hakimi,13, belajar di Sekolah Pondok Gelang Mas, Pasir Mas, manakala anak keduanya, Nur Najwa Balqis, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Latif dan bongsu, Nawfal Basri, 4, belum bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Pekerjaan Nasarudin sebagai buruh beroleh pendapatan tidak tetap sebanyak RM50 sehari manakala ketika bulan Ramadan dia menjual air tebu daripada hasil yang ditanam sendiri. Nur Syazana pula tidak bekerja.

Satu ruangan di dalam rumah kecil ini menjadi tempat tidur keluarga ini dan diletakkan kelambu bagi mengelak nyamuk.
Satu ruangan di dalam rumah kecil ini menjadi tempat tidur keluarga ini dan diletakkan kelambu bagi mengelak nyamuk.

“Makanan kami ala kadar sahaja asalkan anak-anak kenyang walaupun sekadar nasi berlaukkan telur. Kewangan pula amat sukar kerana hanya menunggu sekiranya ada pelanggan yang mahu memberi upah untuk memasang mozek di rumah mereka.

“Keadaan bertambah sukar ketika penularan koronavirus (Covid-19) ini kerana punca pendapatan tidak ada langsung malah jauh sekali daripada mimpi untuk memiliki rumah yang lebih selesa. Hidup bergantung dengan sedikit duit simpanan, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan semalam ada bantuan kecemasan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK),” katanya.

Satu hal yang mengagumkan apabila teratak kecil tanpa bilik itu dijaga bersih agar sentiasa selesa seadanya buat mereka sekeluarga.

Kepada yang berhasrat membantu, bantuan boleh disalurkan ke akaun Nasarudin Mat Ali BSN 1012141000070837 atau hubunginya 017935 6578.