Afif, Zulkifli khianati mandat rakyat

Muhammad Bakhtiar
Muhammad Bakhtiar
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini yang secara terbuka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan mengkhianati mandat rakyat.

Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kemuncak pengkhianatan yang dilakukan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim apabila mereka bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

"Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini diruntuhkan di kala rakyat sendiri terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19), namun kini dua ADUN ini sedang menikmati jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan PN.

"Perbuatan mereka secara terang- terangan membelakangkan perjuangan parti dan mandat rakyat, sementara mereka terus menikmati kerusi ADUN masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular gambar pertemuan lima ADUN Pulau Pinang bersama Muhyiddin yang dipercayai diadakan di Putrajaya semalam.

Lima ADUN berkenaan adalah dua daripada PKR iaitu Dr Afif dan Zulkifli, dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) serta seorang daripada Pas, Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afif umum keluar PKR, sertai Bersatu

Hari ini Dr Afif mengumumkan keluar parti untuk menyertai Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan tindakan Afif yang telah mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Bersatu.

"Afif yang sebelum ini digantung keahliannya dalam PKR telah dipecat daripada parti itu oleh lembaga disiplin parti dan diakui dalam mesyuarat Biro Politik PKR.

"Afif juga sebelum ini telah digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang dan dilucutkan hak sebagai ADUN kerajaan PH Pulau Pinang bersama dua ADUN Bersatu selepas beliau digantung daripada parti," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ADUN Sungai Acheh, Muhammad Bakhtiar berkata, Lembaga Disiplin PKR telah menerima laporan dan bukti yang menunjukkan beliau jelas bersekongkol dengan mereka yang mengkhianati parti serta mandat rakyat.

Selain itu, katanya, Zulkifli juga secara terbuka menyelar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi laluan kepadanya bertanding dan berada pada tahap sekarang.