Dr Afif umum keluar PKR, sertai Bersatu

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dr Afif ketika dihubungi mengesahkan akan mewakili Bersatu pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang November ini.

“Saya akan mewakili Bersatu dalam Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri (Pulau Pinang) sudah menjadikan saya sebagai ADUN pembangkang sejak Mac,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: PH Pulau Pinang tak tergugat, kata Ketua Menteri

Dr Afif semalam dilapor bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama empat ADUN lain.

Mereka ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) serta seorang daripada Pas, Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

Menurut Dr Afif, pertemuan itu untuk memaklumkan kepada Presiden Bersatu itu bahawa pada sesi sidang DUN Pulau Pinang, November ini beliau akan duduk di kerusi pembangkang.

Umum mengetahui Dr Afif merupakan penyokong bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau sememangnya dikenali sebagai 'orang kuat' kepada kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Mac lalu, Dr Afif meletak jawatannya sebagai Exco Kesihatan Pulau Pinang.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum lalu.