MOSTI perkasa aspek teknologi dan pendigitalan dalam urusan kerajaan

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi dan pendigitalan bakal diperkasakan dalam semua urusan pentadbiran kerajaan dan sektor-sektor awam terutama dalam bab penyampaian maklumat, sistem pengurusan, penyelesaian masalah dan pengurusan bencana.

Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya kini sedang meneliti pelbagai teknologi baharu yang boleh digunakan untuk membantu memudahkan urusan harian dan penyelesaian masalah yang lebih efektif selaras dengan hasrat menterinya, Khairy Jamaluddin untuk menjadikan pendigitalan sebagai salah satu fokus utama untuk asas pemulihan ekonomi pasca koronavirus (Covid-19).

Pihaknya juga telah mengadakan lawatan kerja ke pelbagai agensi di bawah MOSTI antaranya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional MIMOS serta Agensi Nuklear Malaysia dan ia banyak membantu dalam memberi keyakinan bahawa negara sebenarnya sudah bersedia melangkah maju ke hadapan dengan teknologi.

“Saya amat tertarik dengan penerangan dan segala perancangan yang dibentangkan oleh MYSA.

"Penggunaan satelit amat penting dalam pelbagai aspek seperti telekomunikasi, ‘remote sensing’, pertanian, kawalan pembalakan, pencerobohan nelayan di perairan kita dan juga daripada persediaan menghadapi bencana seperti banjir dan sebagainya,” katanya selepas lawatan rasmi ke MYSA yang terletak di Banting, Selangor.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad memberitahu pernah menerima aduan tentang pesakit yang perlu beratur lama di hospital dan klinik kerajaan semata-mata hanya untuk mendapatkan tarikh temu janji.

"Semua urusan itu sebenarnya boleh dilakukan dalam talian jika kita telah melaksanakan pendigitalan dan akan memudahkan semua urusan pesakit dan juga pentadbiran hospital.

"Justeru, MOSTI melihat agenda pendigitalan dan penggunaan teknologi dalam urusan kerajaan dan sektor awam sangat penting, malah mampu menyelesaikan masalah orang ramai dengan lebih efisien dan berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, negara sudah mempunyai kepakaran tersebut dan kini dalam fasa untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan jaya dan tersusun.