X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk gempar pak bedal muncul

Kelibat pak bedal yang sempat dirakam Nasaruddin.
A
A

PASIR PUTEH - Kemunculan seekor buaya dipercayai dari spesis tembaga sepanjang tiga meter telah menggemparkan kaki pancing dan penduduk di Kampung Telaga Gayong di sini.

Buaya yang berwarna kuning keemasan itu muncul di tebing sungai Kampung Telaga Gayong pada jam 12.30 tengah hari.

Kehadiran buaya itu disedari oleh seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Mohd Nasaruddin Deraman, 50, yang melalui jambatan tersebut untuk pulang ke rumah.

"Ketika melalui jambatan itu, saya telah ternampak seekor buaya yang sedang berjemur di tebing sungai tersebut," katanya.

Menurutnya, beliau kemudian terus mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam kelibat reptilia tersebut sebagai bukti.

Katanya, bukan itu sahaja beliau sempat menunggu selama lima minit sambil memerhatikan kelibat buaya itu.

Mohd Nasaruddin menunjukkan lokasi pak bedal muncul di Sungai Telaga Gayong.
Mohd Nasaruddin menunjukkan lokasi pak bedal muncul di Sungai Telaga Gayong.

"Selepas itu, saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada penduduk setempat," katanya.

Nasaruddin berkata, beliau berbuat demikian kerana bimbang keselamatan penduduk kerana kawasan itu merupakan 'lubuk' kaki pancing dan kanak-kanak mandi.

Sementara itu, penduduk, Amirul Adli Mohd Khari,19, mengakui terkejut selepas mendapat tahu kehadiran pak bedal di kawasan sungai berhampiran kampungnya.

Katanya, hal ini kerana kali pertama beliau melihat sendiri kehadiran buaya tembaga itu.

"Sebelum ini saya hanya dengar cerita dari orang-orang tua sahaja namun kali ini dapat melihatnya secara langsung.

"Sejak pak bedal muncul saya dan rakan-rakan yang merupakan kali pancing sudah tidak berani untuk melakukan aktiviti itu," katanya.

Menurutnya, beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera bagi mengelakkan musibah lebih buruk pada masa hadapan.

Sementara itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memberitahu pihaknya akan menghantar pegawai bagi menyiasat kes tersebut dalam tempoh terdekat sebelum mengambil tindakan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!