Barat membisu isu etnik Uighur?

Pusat tahanan tersebut dikatakan cuba untuk menghapuskan identiti etnik Uigur.
Pusat tahanan tersebut dikatakan cuba untuk menghapuskan identiti etnik Uigur.
A
A
A

BUKTI menunjukkan hampir sejuta orang Islam Uighur di wilayah barat China ditempatkan di kem tahanan.

Tetapi, sebahagian besar kerajaan Barat gagal memberi respons terhadap pelanggaran tersebut yang jelas dilihat sebagai konspirasi untuk menunjukkan pengaruh ekonomi dan politik Beijing masih kuat.

Beberapa pengkritik merujuk kempen terhadap etnik Uighur itu sebagai 'pembersihan etnik'.

Sejak akhir 2017, ratusan ribu minoriti Uighur tersebut telah 'dikurung' dalam kem indoktrinasi di wilayah autonomi Xinjiang.

Penyeksaan dan penderaan adalah perkara biasa di kem tahanan, namun Parti Komunis menggunakan 'kuasa kejuruteraan sosial' untuk menghapuskan tradisi, identiti dan kepercayaan agama golongan terbabit.

Walaupun terdapat laporan meluas tentang penindasan sistematik itu, negara antarabangsa masih mengambil pendekatan berdiam diri.

Susulan itu, aktivis mula mempersoalkan tindakan kerajaan asing yang sepatutnya mengenakan sekatan ekonomi dan memboikot syarikat China sebagai tindak balas punitif.

Hanya kritik, tiada tindakan diambil

Bulan lalu, jawatankuasa Parlimen Kanada melaporkan penahanan etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain adalah pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Namun, ia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam bentuk kritikan retorik.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) dengan lantang mengkritik tindakan China termasuk langkah peluasan tentera di Laut China Selatan dan amalan perdagangan yang tidak adil.

Bagaimanapun, ia gagal menyentuh tentang isu Uighur.

Pada September lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump memaklumkan ia mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan terhadap pegawai kanan China dan syarikat yang dikaitkan secara meluas terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

Selepas empat bulan, tiada tindakan diambil daripada perbincangan tersebut.

Penggubal undang-undang AS turut memperkenalkan rang undang-undang menggesa pembebasan lebih juta etnik Uighur pada November lalu dengan ahli Kongres parti Republikan, Chris Smith merujuk pusat tahanan itu sebagai 'jenayah terhadap kemanusiaan'.

Penduduk Uighur didakwa terus menjadi sasaran penindasan kerajaan China.
Penduduk Uighur didakwa terus menjadi sasaran penindasan kerajaan China.

Rang undang-undang itu mencadangkan sekatan dikenakan ke atas individu yang didapati bertanggungjawab terhadap pelanggaran tersebut selain memberi kuasa kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk mengesan dan melaporkan gangguan China terhadap penduduk Uighur di AS.

Selain itu, terdapat laporan boleh dipercayai yang mendedahkan tahanan Uighur telah dijadikan sebagai buruh paksa atau kos rendah dan produk dihasilkan mereka kini membanjiri pasaran antarabangsa.

Jabatan Negara AS menerusi laporan kepada Jawatankuasa Senat mendakwa pihak berkuasa China telah menahan kira-kira 800,000 dan berkemungkinan lebih dua juta etnik Uighur, Khazak dan minoriti Islam lain.

Pada Oktober, Parlimen Eropah menerima pakai resolusi kecemasan berhubung pusat tahanan dan langkah penahanan sewenang-wenangnya itu.

"Kesatuan Eropah (EU) tidak lagi boleh meneruskan urusan dengan pendekatan biasa bersama China,"kata salah sorang anggota Parlimen Eropah yang turut disokong ahli lain dan menyifatkan situasi di Xinjiang sebagai 'pembersihan etnik' dan 'pembunuhan budaya'.

Resolusi akhir juga menggesa Beijing menamatkan penahanan tersebut dan menutup kem tahanan itu selain membebaskan mereka yang ditahan serta-merta tanpa syarat.Tetapi, ia gagal untuk menetapkan tentang agenda jelas dan 'garisan merah' berhubung tindakan EU atau langkah punitif yang bakal diambil jika Beijing gagal memulihkan keadaan itu.

Bukan hanya Eropah, negara lain juga bimbang dengan impak terhadap ekonomi mereka jika mengkritik penindasan Uighur.

Menerusi akhbar tabloid parti Komunis, Global Times pada Julai lalu, ia melaporkan Beijing akan membantu untuk menyediakan kestabilan ekonomi di Turki.

Namun, ia hanya akan diberikan jika Ankara tidak mengecam dengan lantang dasar etnik di Xinjiang.

Negara majoriti Islam lain juga mengambil pendekatan sama.

Sebagai contoh, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil masa sehingga akhir tahun lalu untuk menzahirkan kebimbangan terhadap laporan penindasan ke atas orang Islam di China yang merupakan rakan perdagangan utama 20 daripada 57 blok negara anggota mereka.

Tindak balas negara Eropah mengecewakan

Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Peter Irwin berkata, respons yang diberikan oleh negara Eropah sememangnya mengecewakan walaupun mereka dengan lantang mengkritik di peringkat EU.

"Adalah penting untuk negara terbabit bergabung bagi melancarkan konfrontasi terhadap Beijing dan EU dilihat sebagai entiti sempurna untuk tindak balas seumpama itu," ujarnya.

Mangsa yang terselamat mendakwa mereka diseksa secara fizikal dan mental malah pihak berkuasa turut melarang golongan itu menyimpan janggut selain memaksa mereka memakan daging khinzir dan mengambil minuman alkohol yang dilarang agama Islam.

Beijing bagaimanapun menafikan laporan itu sebagai 'berita palsu' dan mendakwa kem tahanan itu kononnya sebuah pusat pendidikan yang dihadiri secara sukarela serta diwujudkan untuk menangani ekstremisme dalam kalangan komuniti Uighur.

Ancaman yang semakin meningkat terhadap etnik itu menyebabkan puluhan ribu penduduk Uighur melarikan diri dari wilayah Xinjiang sejak beberapa tahun lalu dan kebanyakan mereka cuba untuk mendapatkan suaka di Barat.

Negara Eropah bagaimanapun berbelah bahagi sama ada untuk menerima atau menghantar mereka pulang. - Asia Times

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!