Ibadah haji dibuka untuk umat Islam di Arab Saudi sahaja

Kementerian Haji Arab Saudi berkata, ibadat itu akan dibuka kepada pelbagai warganegara yang sudah berada di Arab Saudi tetapi ia tidak menjelaskan bilangan jemaah haji.
Kementerian Haji Arab Saudi berkata, ibadat itu akan dibuka kepada pelbagai warganegara yang sudah berada di Arab Saudi tetapi ia tidak menjelaskan bilangan jemaah haji.
A
A
A

RIYADH - [DIKEMASKINI] Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan musim haji dengan jumlah terhad pada tahun ini yang terdiri daripada para jemaah dalam kalangan rakyat Arab Saudi dan warganegara luar yang sudah berada di negara beraja tersebut sahaja.

Keputusan itu adalah yang pertama kali dalam sejarah moden Arab Saudi bahawa negara itu melarang umat Islam di luar negara beraja itu daripada mengerjakan haji.

Pada tahun lalu, seramai 2.5 juta jemaah haji mengerjakan haji.

Kementerian Haji Arab Saudi berkata, ibadat itu akan dibuka kepada pelbagai warganegara yang sudah berada di Arab Saudi tetapi ia tidak menjelaskan bilangan jemaah haji.

"Adalah diputuskan untuk membenarkan musim haji pada tahun ini dengan jumlah yang kecil dengan pelbagai kerakyatan di negara beraja ini,' kata seorang pegawai Agensi Berita Saudi semalam.

"Keputusan itu diambil bagi memastikan ibadat haji dilakukan dengan selamat daripada perspektif kesihatan dan menurut pengajaran Islam,' tambahnya.

Keputusan itu dibuat ketika Arab Saudi bergelut untuk menangani jangkitan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat dengan 1,300 kematian dan 161,000 kes iaitu yang terbesar di rantau Teluk.

Walaupun dengan peningkatan tersebut, Arab Saudi kelmarin bertindak menamatkan perintah berkurung di seluruh negara beraja tersebut dan membenarkan pembukaan perniagaan termasuk panggung wayang dan tempat hiburan lain.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman untuk membenarkan ibadat haji dalam jumlah yang kecil dipercayai akan menyebabkan kekecewaan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia yang kerap menggunakan wang simpanan dan sanggup menunggu bagi tempoh yang panjang untuk mengerjakan haji.

Bagaimanpun, kebenaran tersebut kemungkinan akan menggembirakan jemaah haji domestik yang sebelum ini bimbang ia akan dibatalkan buat kali pertama dalam sejarah.

Ibadat itu berlangsung selama lima hari dan akan berakhir pada hujung bulan Julai.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, Kementerian Haji akan mengadakan sidang akhbar pada hari ini untuk memberikan butiran lanjut. - Agensi