50 pimpinan Wanita PKR Johor umum keluar parti

Nor Ashidah (dua dari kanan, depan) bersama pimpinan Wanita PKR Johor umum keluar parti hari ini.
Nor Ashidah (dua dari kanan, depan) bersama pimpinan Wanita PKR Johor umum keluar parti hari ini.
A
A
A

SKUDAI - Seramai 50 pimpinan wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini mengumumkan keluar dari parti selepas hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti tersebut.

Naib Ketua Wanita, Nor Ashidah Ibrahim berkata, langkah sama turut diambil Bendahari Wanita PKR Johor, Siti Noraini Md Jani dan 18 Ketua Wanita Cabang negeri.

Nor Ashidah berkata, tindakan itu dilakukan kerana merasakan tampuk pimpinan PKR sudah hilang hala tuju dan idealisme parti sekali gus gagal menjalankan amanah dikehendaki akar umbi.

Beliau yang juga Exco Wanita pusat turut mempersoalkan penggantungan Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha di mana dakwanya alasan yang diberikan pucuk pimpinan adalah sangat tidak berasas.

"Sama seperti Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Tan Poh Lai yang dikenakan pemecatan dan penggantungan keahlian tanpa alasan kukuh," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ketua Wanita Cabang yang mengumumkan keluar parti ialah Tenggara, Mersing, Sembrong, Johor Bahru, Pasir Gudang, Pulai, Muar, Pontian, Tanjung Piai, Sri Gading, Sekijang, Simpang Renggam, Batu Pahat, Ayer Hitam, Ledang, Pagoh, Ledang serta Tebrau.

Nor Ashidah berkata, mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik selepas mengumumkan keluar PKR hari ini.

"Kami akan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) dan Nation of Women (NOW) bagi membantu masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan: