Nik Safiah terima ijazah daripada Tunku

Nik Safiah berkongsi momen-momen indah yang dirakam lensa kamera kepada wartawan Sinar Harian.
Nik Safiah berkongsi momen-momen indah yang dirakam lensa kamera kepada wartawan Sinar Harian.
A
A
A

NAMA Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim bukanlah asing dalam dunia akademik di Malaysia lebih-lebih lagi sumbangan beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu cukup besar di negara ini.

Anak Kelantan yang dilahirkan pada tahun 1939 itu dikenali sebagai ahli bahasa yang pernah memegang Kursi Pengajian Melayu dan dianugerahi gelaran Profesor Emeritus.

Beliau juga mengasaskan Persatuan Linguistik Malaysia dan menjadi presiden pertubuhan itu selama 18 tahun.

Nik Safiah telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah buku tentang bahasa Melayu yang menjadi rujukan sehingga sekarang.

Selain menjadi sumber rujukan di negara ini, kepakaran beliau dalam ilmu linguistik dan bahasa Melayu turut menjadi rujukan kepada Singapura dan Brunei dalam menghasilkan buku teks.

Bagaimanapun, sebelum menjadi individu yang disegani dalam dunia akademik, Nik Safiah mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana banyak pengorbanan dan kepayahan perlu ditempuhinya.

Nik Safiah ketika ditemu bual di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, latar belakang keluarganya adalah golongan ulama. Datuk sebelah ibu bapanya ialah individu terkenal dalam bidang agama.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Nik Safiah ketika menjadi peserta simposium antarabangsa pertukaran budaya Asia Tenggara dan Jepun.
Gambar kenangan Nik Safiah ketika menjadi peserta simposium antarabangsa pertukaran budaya Asia Tenggara dan Jepun.

“Datuk sebelah bapa saya dikenali sebagai Tok Malek Sungai Pinang. Beliau antara ulama besar yang memainkan peranan penting dalam meluaskan dakwah ke seluruh tanah air.

“Beliau pernah menjadi penasihat agama kepada Sultan Kelantan pada masa itu,” katanya.

Terima ijazah

Beliau berkata, bapanya sangat mementingkan soal pendidikan anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah.

“Bapa saya anak kepada seorang alim ulama, tetapi tidak menghantar kami lima beradik ke pondok pengajian agama. Sebaliknya menghantar kami semua sekolah biasa. Namun, kami dibesarkan dalam suasana didikan agama.

“Kakak saya, Nik Fatimah ketika menjadi guru besar di sebuah sekolah di Kelantan telah menghantar saya ke Government Girls English School yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Sekolah Rendah Zainab,” katanya.

Beliau kemudiannya mendapat tawaran memasuki Malay Girls College di Kuala Lumpur pada 1953. Ketika itu, jarang sekali pelajar dari Kelantan merantau ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaran.

“Selepas itu, saya meneruskan pengajian Tingkatan Enam di St Francis Institution, Melaka dalam aliran sastera. Saya mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris, Geografi dan Sejarah bagi menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada 1959.

“Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1960 dalam bidang ekonomi. Tahun kedua saya memilih untuk membuat pengkhususan dalam bidang Pengajian Melayu. Dari situlah minat saya terhadap linguistik bercambah,” ceritanya.

Berkongsi kisah mendapat ijazah pertama di UM, Nik Safiah menamatkan pengajian pada tahun 1963 dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu.

“Majlis konvokesyen diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pada saya, detik yang tidak dapat dilupakan adalah ketika pelajar berarak ke pentas sambil lagu From Dawn to Darkness dimainkan. Kedua, saya dipanggil menerima ijazah daripada Canselor UM ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

“Seorang wanita menerima ijazah pada masa itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana tidak ramai mendapat pendidikan tinggi di universiti,” katanya.

Jelasnya, beliau kemudian ditawarkan menyambung pengajian peringkat sarjana dan dilantik menjadi tutor di UM sebelum menjadi pensyarah.

“Selesai menyiapkan kajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera, saya ditawarkan bekerja sebagai pensyarah di UM,” katanya.

Nik Safiah mengasaskan Persatuan Linguistik Malaysia dan menjadi presiden pertubuhan itu selama 18 tahun.
Nik Safiah mengasaskan Persatuan Linguistik Malaysia dan menjadi presiden pertubuhan itu selama 18 tahun.

Menurut Nik Safiah, sepanjang menjadi pensyarah di UM selama hampir 10 tahun, beliau mungkin sudah boleh berasa selesa dan tidak perlu menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran.

Berkelana ke AS

Disebabkan cintakan ilmu, beliau merasakan perlu memiliki gelaran doktor PhD dan AS menjadi destinasi melanjutkan pengajian kerana ilmu linguistik di negara itu lebih maju berbanding negara lain.

“Aliran pemikiran yang berpengaruh pada 1960-an dan 1970-an ialah transformasi-generatif. Ia dimulakan seorang ahli bahasa di Massachussetts Institute of Technology bernama Noam Chomsky.

“Di Amerika jugalah berlaku perkembangan amat pesat sehingga ramai sarjana yang ingin mendalami bidang ini berhijrah ke sana,” katanya.

Tambahnya, hasrat menyambung pengajian itu disokong oleh suaminya yang ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah ITM Shah Alam (kini UiTM Shah Alam) dan turut bersetuju menyambung pendidikan peringkat sarjana dalam bidang pentadbiran pendidikan.

“Akhirnya Universiti Ohio menerima kami berdua. Kami berlepas ke Ohio pada 1972 bersama dua anak. Pengalaman menimba ilmu di AS tidak dapat dilupakan dan antara kenangan indah adalah kegembiraan menimba ilmu dan pulang dengan kelulusan ijazah kedoktoran dari luar negara,” katanya.

Nama: Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim

Umur: 81 tahun

Suami: Mohd Zain OmarAnak: Empat orang

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Pencapaian

Gelaran Profesor Emeritus dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia

Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa (2001) dan Tokoh Pejuang Bahasa (2004)

Pingat Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada tahun 1989, Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada tahun 1995, Johan Panglima Negara (J.P.N) pada tahun 1997

Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1434 Hijrah pada tahun 2013

Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah pada tahun 1995

Pingat Emas Tun Fatimah dan Tokoh Wanita Kelantan pada tahun 2001

Anugerah Wanita Cemerlang TKC dan UM pada tahun 1997

Pencetus kepada penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita pada tahun 2001