'Elok mula 15 Ogos atau lebih awal'

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan beliau hanya mempunyai tempoh seminggu untuk menyiapkan pasukan sekiranya saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung pada Oktober depan. - Foto FAM
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan beliau hanya mempunyai tempoh seminggu untuk menyiapkan pasukan sekiranya saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung pada Oktober depan. - Foto FAM
A
A
A

ANDAI saingan Liga Malaysia (Liga-M) disambung lebih awal, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pastinya dapat membentuk pasukan lebih baik menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Oktober dan November depan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, Liga-M seharusnya bermula lebih awal bagi memberikan sedikit kelebihan kepada anak-anak buah Cheng Hoe.

“Ada dua perkara saya nampak apabila liga bersambung pada September nanti kepada skuad Harimau Malaya. Pertama, pemain-pemain mungkin akan mudah mengalami masalah kecederaan kerana jadual yang padat. Mereka tidak ada waktu rehat yang cukup kerana perlu menyudahkan tujuh perlawanan.

“Tak boleh nak salahkan kelab atau pasukan negeri kerana sebagai seorang jurulatih seperti saya, sudah tentu saya mahu menurunkan pemain-pemain utama untuk ketujuh-tujuh perlawanan itu. Risiko kecederaan akan menjadi tinggi dan sudah tentu akan memberikan masalah kepada Cheng Hoe.

“Kedua, Cheng Hoe akan menghadapi masalah kesuntukan masa untuk menyiapkan pasukan kerana liga akan berakhir pada penghujung bulan September. Cheng Hoe juga memerlukan waktu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan sebagainya.

“Sebab itu, saya mencadangkan agar liga boleh bermula lebih awal dan kita (kelab dan pasukan negeri) dapat bersama-sama membantu pasukan Harimau Malaya,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Terdahulu, Cheng Hoe mendedahkan beliau hanya mempunyai tempoh seminggu untuk menyiapkan pasukan sekiranya saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung pada Oktober depan.

Ia disebabkan beliau perlu mengikut perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan menyambung Liga-M mulai September nanti.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, perancangan memulakan liga lebih awal mungkin boleh dilakukan jika MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat permohonan lebih awal kepada pihak kerajaan memandangkan kes Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan.

“Cadangan asal yang saya tahu, liga dirancang bersambung pada 2 September, elok kita mula pada 15 Ogos atau lebih awal. Ia akan memberi waktu rehat lebih lama kepada para pemain untuk mengharungi tujuh perlawanan itu. Jadi risiko kecederaan akan kurang.

“Cheng Hoe juga akan mempunyai lebih masa daripada jangkaan seminggu kepada mungkin dua minggu. Ia sudah tentu akan melegakannya dan mungkin boleh atur perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan,” jelasnya.

Untuk memastikan Liga-M dan latihan penuh dapat dimulakan lebih awal, Sathianathan meminta kerjasama semua pihak supaya mematuhi SOP yang telah disediakan dalam latihan Fasa 1.

“Pematuhan SOP ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada setiap pasukan memulakan latihan penuh dan saingan liga berlangsung lebih awal,” ujarnya.