Tiga sekeluarga maut, isteri hamil 5 bulan

Ketiga-tiga jenazah disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Panas.
Ketiga-tiga jenazah disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Panas.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Wanita yang maut bersama suami dan anak bongsunya dalam nahas di Kilomter 74, Jalan Ipoh - Gerik di sini semalam disahkan hamil 5 bulan.

Nurul Huda Arifin, 31, yang meninggal dunia di tempat kejadian sedang mengandung anak ketiga dan dijangka melahirkan bayi pada Oktober ini.

Kemalangan kira-kira jam 11.30 malam itu turut mengorbankan suaminya, Abdul Hakim Hashim, 32, dan anak bongsu, Adib Aidan berusia 2 tahun.

Anak sulung mangsa, Ammar Aiman, 4, mengalami kecederaan di bahagian hidung dan kini dirawat di wad pediatrik Hospital Kuala Kangsar.

Adik ipar Nurul Huda, Nazirah Hashim, 28, berkata, kandungan ketiga itu dinanti-nantikan pasangan berkenaan kerana dijangka bakal menimang cahaya mata perempuan.

“Mereka amat menantikan anak perempuan sepanjang lima tahun perkahwinan selepas dikurniakan dua cahaya mata lelaki,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Menurutnya, keluarga abangnya itu ingin pulang ke kampung mereka di Kampung Air Panas, Gerik tetapi ibunya, Norliah Abas, 56, meluahkan rasa tidak sedap hati dengan hasrat berkenaan.

“Khamis lalu emak memberitahu beliau risau dan sukar tidur tetapi tidak menyatakan punca keadaan itu sehinggalah berlaku kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

“Emak dan ayah, Hashim Ibrahim yang berusia 54 tahun terus bergegas ke hospital selepas menerima panggilan daripada sepupu yang kebetulan melalui kawasan kejadian itu malam tadi,” katanya.

Hashim memangku jenazah Adib Aidan selepas bedah siasat selesai dijalankan.
Hashim memangku jenazah Adib Aidan selepas bedah siasat selesai dijalankan.

Nazirah berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menyifatkan Allahyarham sebagai abang yang bertanggungjawab.

“Lebih terkilan, ayah tidak sempat menatap wajah abang di bilik kecemasan. Ayah baru sampai, doktor maklumkan abang sudah pergi buat selama-lamanya dan lima minit kemudian, cucunya pula.

“Ayah minta kami sembilan beradik dan ibu bersabar dan reda,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Panas, Gerik.

Kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu membabitkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki empat sekeluarga dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Siasatan awal polis mendapati keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik sebelum Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta mangsa lalu bertembung.

Jenazah kesemua mangsa dibawa ke Kampung Air Panas, Gerik untuk dikebumikan.
Jenazah kesemua mangsa dibawa ke Kampung Air Panas, Gerik untuk dikebumikan.