X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan Harimau Malaya sudah berubah

Cheng Hoe (tengah) mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum merangka strategi baharu bagi menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
A
A

Tiada keperluan skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin (quarantine based approach centralized camp) dalam waktu terdekat.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, perancangan mengadakan latihan secara kuarantin itu memang ada, namun tidak menjadi kenyataan selepas kerajaan membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berlatih sejak awal minggu ini.

“Buat setakat ini, belum ada sebarang perancangan lain yang boleh kita buat selepas pasukan-pasukan Liga-M mendapat kelonggaran daripada pihak kerajaan untuk menjalani sesi latihan.

“Sebelum ini, memang ada perancangan kita mahu memanggil pemain mengadakan latihan pusat secara kuarantin. Tetapi apabila kelab dan pasukan Liga-M boleh melakukan latihan, maka saya melihat tiada keperluan untuk latihan pasukan kebangsaan diadakan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan, pihaknya sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi latihan skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November.

FAM juga akan menghantar SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat berpandukan SOP Sektor Sukan & Rekreasi Fasa 2 yang dikeluarkan KBS baru-baru ini.

Dalam masa sama, Cheng Hoe mahu mengumpul semula barisan pemain Harimau Malaya untuk latihan bersama sebelum saingan Liga-M yang dijangka bermula September depan.

Cheng Hoe turut mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ berhubung tarikh sebenar baki tiga perlawanan kelayakan tersebut yang akan diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Tetapi kita perlu juga bersedia dalam apa saja situasi kerana kalau jadi berlangsung Oktober, kita tidak kelam kabut. Kalau ikutkan, saya juga perlu mengikut perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menjadualkan liga bersambung semula September ini.

“Selepas habis tujuh perlawanan liga, barulah saya boleh memanggil pemain-pemain untuk latihan skuad kebangsaan. Saya mungkin ada seminggu saja untuk menyiapkan pasukan. Saya perlu gunakan sebaik mungkin masa tersebut kerana pasukan perlukan juga aksi pemanas badan,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!