X

Kindly register in order to view this article
!

PKR tolak Dr Mahathir, pilih Presidennya sebagai PM

Dr Mahathir Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat keputusan menolak cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu kenyataan berkata, satu mesyuarat khas bersama ahli Parlimen parti itu sudah diadakan dan mereka sebulat suara memilih Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat.

“Bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Menurut kenyataan itu, parti itu telah mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.

"PKR juga menghargai usul dan usaha rakan-rakan dalam DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang secara konsisten menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

"Permasalahan berbangkit apabila Dr Mahathir berpendirian mahu kembali buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, PKR juga bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum jika dilakukan secara mengejut.

"PKR turut membuat keputusan sekiranya PKR kembali menjadi sebahagian dari kerajaan Persekutuan, dasar dan program pentadbiran dianggotai PKR mestilah mengangkat semangat keadilan untuk semua, mempertahan Perlembagaan Persekutuan serta hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.

"PKR juga akan membela nasib rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan memperjuang agenda reformasi serta pembaharuan tata kelola pentadbiran kerajaan," katanya.

Tambahnya, keputusan pilihanraya kecil dan pandangan rakyat termasuk masyarakat Melayu yang kritis ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir mesti diteliti, difahami dan dijadikan iktibar untuk memperbaiki keadaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus