Pintu sempadan darat Malaysia-Singapura perlu dibuka segera

Cheo Yee How
Cheo Yee How
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu segera mengadakan perbincangan dengan pemimpin utama Singapura bagi membolehkan pintu sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How berkata, pembukaan pintu sempadan darat kedua-dua negara itu cukup penting bagi pekerja Malaysia yang mencari rezeki di republik itu.

"Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling terletak di kawasan bandar Johor Bahru mempunyai ramai penduduk yang bekerja di Singapura.

"Keluh-kesah mereka saya dengari. Melalui maklumat yang diterima, setakat ini telah wujud pekerja warganegara Malaysia yang dibuang kerja akibat sekatan yang dilaksanakan kedua-dua negara tersebut," katanya.

Katanya, hubungan kedua-dua negara antara Malaysia-Singapura yang terjalin selama ini boleh dimanfaatkan dengan membincangkan soal kemudahan pekerja Malaysia di Singapura.

“Kita maklum kedua-dua negara mengambil langkah berjaga dalam isu pandemik koronavirus (Covid-19) ini namun soal masa depan pekerja negara ini juga perlu diberikan perhatian.

“Saya melihat, kelonggaran boleh diberikan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara tersebut serta sempadan di antara kedua negara ini khusus untuk mereka yang bekerja sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, beliau mencadangkan rundingan kedua negara ini perlu disegerakan bagi membincangkan soal pekerja Malaysia di sana agar rakyat kita di Singapura dapat merancang pekerjaan mereka dengan majikan di sana sekali gus mengelakkan mereka dibuang kerja.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian dan kerajaan negeri Johor perlu mengambil langkah proaktif sebelum wujud masalah lain sekiranya perkara ini dibiarkan dan saya yakin akan ada ramai lagi pekerja Malaysia di Singapura akan dibuang kerja,” katanya.