X

Kindly register in order to view this article
!

Konflik China-India terburuk sejak 1962

A
A

NEW DELHI - Pertelingkahan terburuk antara New Delhi dan Beijing dalam tempoh lebih 50 tahun mengorbankan sekurang-kurangnya 20 tentera India dan puluhan lagi didakwa telah ditawan.

Konflik terbaharu di kawasan pergunungan di Lembah Galwan di Ladakh, wilayah Kashmir yang bersempadan Tibet di China lewat Isnin lalu telah menyebabkan kedua-dua negara kuasa nuklear tersebut saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Insiden keganasan tanpa melibatkan serangan berbalas tembakan itu berlaku beberapa minggu selepas ketegangan meningkat berikutan kedua-dua negara mengerahkan ribuan tentera tambahan ke kawasan sempadan sepanjang kira-kira 3,500 kilometer yang menjadi pertikaian selama beberapa dekad.

Menurut sumber tentera, pasukan keselamatan terbabit saling melayangkan tumbukan dan membaling batu manakala tentera China menyerang dengan batang kayu berpaku ketika pertempuran yang berlarutan selama lebih enam jam.

Terdahulu, India memaklumkan tiga anggota mereka terkorban dan terdapat kematian di kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun, ia mendakwa seramai 17 lagi yang cedera parah dan terdedah kepada suhu di bawah sifar maut beberapa jam kemudian.

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan mengesahkan insiden pertempuran itu, namun tidak memberikan butiran lanjut sama ada anggota tentera mereka turut terkorban.

India dan China mengerahkan ribuan tentera tambahan untuk memantau situasi di Lembah Galwan dan kawasan lain di timur Ladakh, wilayah Kashmir yang bersempadan Tibet sejak lima minggu lalu. - Foto Agensi
India dan China mengerahkan ribuan tentera tambahan untuk memantau situasi di Lembah Galwan dan kawasan lain di timur Ladakh, wilayah Kashmir yang bersempadan Tibet sejak lima minggu lalu. - Foto Agensi

Beijing mendakwa tentera India telah membuat tindakan provokasi dengan melintasi sempadan sebanyak dua kali dan turut menyerang anggota keselamatan mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal yang serius.

Tetapi, jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivasta berkata, pertempuran itu berlaku susulan cubaan China untuk mengubah status quo di sempadan itu secara unilateral.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan pengorbanan 20 anggota tentera India yang maut di sempadan tidak akan menjadi sia-sia.

“Pada kami, perpaduan dan integriti negara adalah paling penting. India mahukan keamanan, namun akan bertindak balas jika berdepan provokasi,” tegasnya.

Sementara itu, akhbar tabloid, Global Times di China menyelar sikap angkuh India menegaskan ‘Beijing enggan menukar isu sempadan menjadi konfrontasi dengan New Delhi’.

Penganalisis tentera dan politik pula berpendapat India-China tidak mahu menyemarakkan lagi konflik tersebut.

“Pemimpin kedua-dua negara tidak mahu perang tercetus. Namun, mereka enggan melepaskan tuntutan wilayah mereka,” kata felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace di Washington, Dr Ashley J Tellis.

Amerika Syarikat (AS) yang turut terlibat konflik dengan China berharap penyelesaian damai terhadap isu itu dan akan memantau perkembangan krisis itu.

PBB juga senada AS dan menggesa kedua-dua belah pihak bertelagah supaya mengambil langkah meredakan ketegangan tersebut. - Agensi

Info:

>India dan China tidak pernah bersetuju tentang sempadan ‘Garis Kawalan Sebenar’. Kedua-dua belah pihak menggunakan cadangan garisan sempadan yang berbeza dihasilkan Britain kepada China pada abad ke-19 untuk menyokong tuntutan mereka.

>Pada 1962, Perang China-India tercetus selepas Beijing membuat tuntutan ke atas wilayah pertikaian di Himalaya dan disusuli pertempuran berdarah pada 1967.

>Pada 1975, empat tentera India maut dalam insiden serangan hendap di garisan pemisah di Arunachal Pradesh.

>Pada 2017, konflik berlarutan selama 72 hari selepas pasukan tentera China mara ke dataran tinggi Doklam di sempadan China-India-Bhutan.

>Pada 9 Mei 2020, krisis baharu tercetus selepas beberapa tentera China dan India cedera selepas saling berbalas tumbukan dan membaling batu di Naku La di negeri Sikkim yang bersempadan Bhutan, Nepal dan China.

>Minggu lalu, Beijing mendakwa ia telah mencapai konsensus positif dengan India tentang usaha meredakan ketegangan di sempadan. Namun, tentera China didakwa tidak berganjak dari beberapa bahagian di Lembah Galwan dan utara tebing Tasik Pangong Tso selepas mereka dikerah ke kawasan itu sejak beberapa minggu lalu.

>Hubungan China-India semakin tegang selepas New Delhi membatalkan status khas di negeri Jammu dan Kashmir pada Ogos 2019 yang turut mencetuskan konflik dengan Pakistan. Keputusan itu menyaksikan wilayah Ladakh yang sebahagiannya dituntut Beijing menjadi wilayah dibahagikan yang ditadbir India.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!