SPR mahu isu guna aset kerajaan dibawa ke SPRM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius penggunaan kenderaan jabatan kerajaan bagi tujuan berkempen dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dan mahu isu tersebut dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah berjumpa dengan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim selaku Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan perkara itu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua pihaknya diingatkan supaya mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya dengan tidak melakukan aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, program Kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi.

"Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin satu rakaman video tular di laman sosial ekoran sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua lelaki mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang disembunyikan di bawah bendera parti PH dan Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh calon BN, Ramli Mohd Noor bagi membolehkan satu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.

Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata, SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa kempen yang berunsurkan perkauman adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 4A AKPR 1954 manakala kempen yang menyentuh sensitiviti agama adalah merupakan pengaruh tidak wajar dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 9 AKPR 1954.

"Ini berikutan terdapat laporan bahawa wujudnya isu-isu berkenaan semasa aktiviti berkempen dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik yang bertanding untuk memastikan segala aktiviti kempen PRK Parlimen Cameron Highlands tidak menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi di PRK ini," ujarnya.

Katanya, setiap calon diingatkan untuk mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti berkempen yang dilakukan.

"SPR menyeru supaya setiap calon dan parti politik memberi perhatian dan peringatan yang sewajarnya terhadap setiap perkara yang dinyatakan dalam Aku Janji ini," jelasnya.