Jangan jadi 'duri dalam daging': Roslee

Roslee (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Roslan Tahir (kiri) kepada Timbalannya, Deputi Superintendan Alexchantra Gabrial (kanan) di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Roslee (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Roslan Tahir (kiri) kepada Timbalannya, Deputi Superintendan Alexchantra Gabrial (kanan) di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pegawai dan anggota yang terbabit dengan kesalahan dadah sama ada penyalahgunaan ataupun pengedaran bahan terlarang itu tidak wajar berada dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota terlibat dalam kegiatan yang mencemarkan integriti PDRM selaku agensi penguat kuasa undang-undang.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang dikenal pasti terlibat dalam jenayah termasuk tindakan membuang kerja kepada yang didapati bersalah.

"Saya tidak mahu ada dalam kalangan 'keluarga' PDRM menjadi 'duri dalam daging' dengan terlibat dengan jenayah ini kerana kita sebagai penguat kuasa dan sememangnya tahu kesan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat apatah lagi melibatkan anggota dan pegawai polis.

"Disebabkan itulah, anggota dan pegawai polis di sini selalu diingatkan jangan sesekali terjebak dengan najis dadah ini kerana akibatnya buruk sehingga boleh dibuang kerja jika didapati bersalah selain tidak mahu masyarakat melabelkan kami 'harapkan pegar, pegar makan padi'.

"Kita tidak mahu ada dalam kalangan kita yang merosakkan nama PDRM sehingga menyebabkan masyarakat berasa kurang yakin dengan kewibawaan dan integriti pasukan ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Roslan Tahir kepada Timbalannya, Deputi Superintendan Alexchantra Gabrial di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Sementara itu, Roslee berkata, jumlah tangkapan pesalah dadah yang didapati positif ujian saringan awal air kencing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu seramai 2,978 orang berbanding 2,935 individu tempoh sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, peningkatan sebanyak 43 orang itu kebanyakannya melibatkan pesalah berulang dan majoritinya turut memiliki rekod jenayah dadah lampau.

"Hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah ditangkap itu merupakan penagih baharu.

"Meskipun begitu, kami akan mengambil tindakan secara konsisten dalam memastikan masyarakat mempunyai kesedaran tinggi berhubung perkara itu selain membantu mengurangkan kadar jenayah dan penyalahgunaan dadah terutamanya," katanya.

Selain itu, Roslee berkata, dalam tempoh enam bulan tahun ini pula, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai keseluruhan RM1,261,234.38 berbanding tempoh sama tahun sebelum ini iaitu hanya RM708, 231.05.

"Daripada jumlah rampasan tersebut, dadah jenis pil yaba atau lebih dikenali pil kuda antara pilihan dalam kalangan masyarakat yang bernilai keseluruhan RM240,826.50 melibatkan 24,083 biji berjaya dirampas.

"Siasatan mendapati pil yaba ini menjadi pilihan terutama individu yang bekerja menggunakan tenaga sepenuhnya seperti nelayan dan buruh kerana didakwa merangsangkan tenaga yang lebih kepada mereka untuk bekerja.

"Malah harga dadah ini didapati naik mendadak iaitu lebih dua kali ganda di pasaran hari ini iaitu hanya daripada RM8 hingga RM10 untuk sebiji tetapi sekarang mencecah RM20 sebiji," katanya.