Cabaran memerangi virus dan viral

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

HAMPIR semua pengguna media sosial yang aktif menerima mesej melalui telefon pintar mereka pada setiap masa, setiap hari.

Setiap informasi yang diterima itu bukan setakat untuk bacaan sendiri tetapi dikongsi juga dengan pengguna media sosial yang lain.

Isu yang tersebar merangkumi pelbagai bidang dan topik meliputi alam kekeluargaan, rumah tangga, masalah ekonomi, politik negara, isu kegawatan, berita kemalangan, maklumat pelik dan tidak ketinggalan dalam konteks kesihatan terutama tentang wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Apa yang membimbangkan ialah masih ada dalam kalangan masyarakat ketika ini yang cenderung untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang diterima tanpa membuat tapisan terlebih dahulu.

Hakikatnya, terdapat banyak kes maklumat-maklumat palsu menjadi tular di media sosial.

Begitu juga dengan berita-berita lama yang dikitar semula untuk tujuan-tujuan tertentu.

Sikap tersebut jika dibiarkan berterusan adalah berbahaya dan boleh memberi impak yang cukup buruk bukan sahaja kepada individu, reputasi sesebuah organisasi bahkan juga kepada kesejahteraan negara.

Apa yang dipaparkan dalam internet ataupun media sosial sebenarnya tidak semestinya benar belaka. Perlu ditapis terlebih dahulu dan bukannya boleh diterima bulat-bulat.

Artikel Berkaitan:

Tidak kira sama ada menerusi Facebook mahupun mesej berantai yang dikongsi melalui WhatsApp, budaya tular kian meresap ke dalam jiwa pengguna masa kini menyebabkan apa saja perkara yang belum tentu kesahihannya dikongsi dengan pantas.

Menjadi tanggungjawab anda sebagai pengguna sosial untuk mendapatkan kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum bertindak menghantar maklumat kepada orang lain.

Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika keadaan adalah sebaliknya maka ia pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.

Oleh itu, penting bagi pengguna mengesahkan apa yang disebarkan di media sosial.

Amalan menyelidik dan mengkaji setiap maklumat yang diterima dengan memastikan sumbernya sah membolehkan orang ramai mendapat maklumat lebih tepat sambil mengelak salah faham serta fitnah.

Inilah yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan yang berdepan dengan virus dan viral secara serentak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berita palsu merebak lebih pantas daripada Covid-19 itu sendiri.

“Kita bukan sekadar memerangi wabak Covid-19, malah turut memerangi infodemik berkaitan dengan virus ini di mana kedua-duanya ditangani secara serentak,” kata Dr Noor Hisham.

Sehingga 11 Jun 2020, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu ini.

Sebanyak 30 kes telah didakwa di mahkamah, 11 notis amaran telah diberikan dan 18 daripadanya telah membuat pengakuan bersalah menyebarkan berita palsu.

Untuk mengatasi masalah ini, pengguna perlu mengamalkan konsep tabayyun iaitu sikap semak atau periksa sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum sebar.

Perkara utama yang patut kita lakukan sebaik mendapat maklumat di media sosial adalah periksa kredibiliti orang yang menyampaikan sesuatu berita tersebut.

Kemudian, periksa siapa lagi yang menyebarkan berita yang sama. Selepas itu, periksa tarikh dan masa ia berlaku.

Jika tidak yakin, tanya kepada yang pakar. Tanya semua subjek yang terlibat. Jangan hanya tanya orang yang menghantar mesej itu, tanya juga kepada kawan-kawan.

Rujuk juga media-media utama sekiranya ada laporan mengenai isu tersebut. Banyakkan membaca. Dengan cara itu, barulah kita tahu perkara yang sebenar.

Akhir sekali, jika tidak pasti, jangan kongsi. Jangan jadi penyebar berita palsu tanpa anda sendiri sedari.

*Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara