Anwar setuju saranan Najib siasat 'skandal forex'

Anwar Ibrahim dan Najib Razak
Anwar Ibrahim dan Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bahawa beliau setuju berhubung gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyiasat kerugian urus niaga tukaran mata wang asing (forex) melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau menyambut baik gesaan yang dibuat oleh Najib itu.

“Banyak teguran. Misalnya Najib, saya ucap terima kasih, ini cara kita wacana. Tak payah maki hamun, kecam begitu begini.

“(Najib kata), kalau begitu siasat soal skandal forex. Saya setuju. Saya tidak ada masalah dan halangan. Boleh siasat, yang penting tak curi satu sen. Saya tak ambil RM1 bilion, tak ambil tanah balak dan saya tak ambil saham. Itu penting. Kemudian nak siasat forex ke, siasat 1MDB silakan,” katanya dalam satu sesi tazkirah secara langsung di Facebook rasmi pemimpin PKR itu malam tadi.

Terdahulu, Najib berkata, disebabkan terdapat pihak yang tidak suka pengguguran kes Riza Aziz dan Tan Sri Musa Aman, maka beliau meminta kes yang digugurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Tan Sri Tommy Thomas menjadi peguam negara sebelum ini juga diteruskan oleh Jabatan Peguam Negara sekarang.

Beliau berkata, antaranya ialah “skandal forex” yang sehingga kini tidak menyaksikan mana-mana individu didakwa atau didapati bertanggungjawab ke atas kehilangan dana yang begitu besar.

Katanya lagi, selain itu, siasatan juga harus dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab atas usaha menyorok skandal tersebut daripada parlimen dan pengetahuan awam selama bertahun-tahun.

'Skandal forex' merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) dari 1991 hingga 1994 semasa negara diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam catatan terbaharu Najib di Facebooknya hari ini, beliau mempersoalkan adakah Perdana Menteri ke tujuh itu bersetuju "skandal forex" itu disiasat dan mengapa Anwar tidak mengadu selepas kerajaan PH menarik semula laporan polis dan mengklasifikasikan kes Forex BNM menjadi "no further action" selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Tak apa lah. Sekarang dia (Anwar) bersetuju teruskan siasatan kerana ini melibatkan wang yang besar. RM33 bilion masa itu adalah sekitar 20 peratus saiz ekonomi Malaysia masa itu. (Bersamaan dengan RM300 bilion jika mengikut saiz ekonomi masa kini)

"Sehingga kini kita tidak tahu wang itu hilang ke mana dan ke siapa, siapa yang bertanggungjawab memberi kelulusan kepada BNM, siapa yang menyorok kehilangan dana itu dari parlimen dan dalam laporan BNM.

"Seorang pun tak pernah didakwa walaupun 20 peratus daripada saiz seluruh ekonomi tahunan Malaysia hilang begitu sahaja," kata Najib.