Chef Wan minta maaf, mengaku dirasuk syaitan

Paparan IG Chef Wan.
Paparan IG Chef Wan.
A
A
A

SHAH ALAM - Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular sebagai Chef Wan memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengeluarkan ayat mahu menampar muka bekas Perdana Menteri itu.

Jelasnya, beliau tidak mahu menjadi orang yang tidak bersyukur dan menghargai jasa-jasa yang pernah dibuat oleh Najib sewaktu memerintah negara.

"Kepada Datuk Seri Najib, pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar saya telah gunakan waktu saya merasa amat marah!

"Ya saya tidak mahu menjadi orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai langsung sumbangan beliau kepada negara.

"Untuk berlaku adil, beliau (Najib) adalah ahli politik dan mesti berhadapan dengan semua ini secara terbuka dan budiman.

"Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita seperti apa yang saya lakukan pagi tadi (semalam).

"Ya saya mengaku saya silap apabila dirasuk syaitan dan naik marah!," katanya menerusi satu hantaran di akaun Instagramnya.

Memetik laporan Malaysiakini, Chef Wan dikatakan mahu menampar muka Najib semasa hadir berkempen untuk PH di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai.

Artikel Berkaitan:

Ia berpunca apabila Chef Wan membidas tindakan kerajaan BN memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

Menurut Chef Wan pemberian wang berkenaan tidak bermakna jika pada waktu yang lain kerajaan BN 'merompak' agensi terbabit sehingga bankrap.

Malah tindakan Najib melantik bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut mendapat kejian Chef Wan

"Kamu letak Isa Samad di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya. Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia," katanya.

Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.

“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!" katanya.

Ekoran daripada kata-kata tersebut, Facebook Go Shop Malaysia diserang warganet kerana Chef Wan merupakan duta bagi program beli-belah dalam talian itu.

Dalam ruangan komen Facebook perkhidmatan membeli-belah yang disiarkan di Astro itu, warganet mengesa agar chef berkenaan diboikot.

Bagaimanapun, Najib menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, beliau tidak mengetahui sebab dan mengapa ada Chef Wan mengeluarkan kenyataan mahu menampar beliau.

"Ada seorang itu tak tahu mengapa, tiba-tiba berang cakap kasar pasal saya di Cameron Highlands, nak tampar saya. Saya baca, tutup, keluar minum kopi di Podium. Tengok. Saya ok, steady saja.

"Peneroka tahu apa ayahanda saya Allahyarham Tun Razak dan saya sendiri telah buat untuk majukan industri sawit," kata Najib.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan sampai peneroka Felda ramai-ramai lempang kau Cef Wan!, kata Isham Jalil]