Isi borang permohonan sebelum solat jemaah di masjid

Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana jemaah yang ingin mengikuti solat Jumaat dan fardu secara berjemaah di Selangor perlu membuat permohonan terlebih dahulu dengan mengisi borang disediakan pihak masjid atau melalui Google Form.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, permohonan yang diterima akan dipilih oleh pihak masjid bagi menyampaikan jemputan untuk mengikut solat berkenaan dalam bentuk paparan telefon atau kad fizikal berdasarkan tarikh-tarikh ditetapkan.

Beliau berkata, jemaah yang membuat permohonan namun tidak mendapat jemputan harus menunggu keputusan bagi menghadiri solat Jumaat secara berjemaah pada minggu berikutnya.

"Jemaah yang tidak menerima jemputan tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid serta hendaklah menunaikan solat Zohor di tempat masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar masjid-masjid di negeri ini menambah jumlah jemaah dari 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk pegawai serta ahli jawatankuasa.

Difahamkan, kebenaran itu hanya melibatkan 39 buah masjid yang ditetapkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, mereka yang dibenarkan solat Jumaat dan fardu lain secara berjemaah juga perlu terdiri daripada warganegara Malaysia dan harus sentiasa memakai penutup hidung serta mulut semasa berada di kawasan masjid.

"Jemaah juga perlu mengambil wuduk di rumah dan disaran membawa sejadah sendiri dengan mengamalkan penggunaan cecair pencuci tangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga menyediakan garis panduan yang komprehensif untuk menjadi rujukan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengurusan masjid selaku pelaksana kepada garis panduan berkenaan supaya memastikan perkara itu dapat dilaksanakan sebaiknya.

"Pegawai masjid dan jemaah diminta untuk terus berdisiplin dan bersabar dalam mematuhi sebarang keputusan dan garis panduan ditetapkan ini," katanya.