Komplot jatuhkan Najib pengkhianatan terlampau

Thanenthiran (dua dari kanan) bersama ahlinya menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka petang semalam.
Thanenthiran (dua dari kanan) bersama ahlinya menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka petang semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Komplot menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram seperti yang didedahkan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah pengkhianatan terlampau.

Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran menyifatkan perbuatan mereka itu bukan sahaja terkutuk kerana mahu menangkap Najib yang ketika itu masih lagi Perdana Menteri tanpa alasan yang kukuh malah cubaan mereka itu mencemarkan imej institusi perundangan dan kehakiman negara.

Menurutnya, sehingga kini tiada penafian yang dibuat mengenai pendedahan itu dan ia membuktikan terdapat usaha dilakukan untuk mencemarkan nama baik Najib sejak awal lagi dengan bermotifkan hasad dengki serta mahu merampas kuasa.

"Amat memalukan apabila komplot ini dilakukan oleh seorang negarawan dan bekas hakim yang sepatutnya menegakkan keadilan malah ia satu komplot yang rapi dalam usaha merampas kuasa sedangkan ketika itu Najib telah membawa banyak perubahan kepada negara.

"Sehingga hari ini kita tidak dengar penafian yang dibuat oleh Gopal Sri Ram kerana seperti dinyatakan Apandi (Mohamed Apandi), beliau mempunyai bukti kukuh termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai pertemuan mereka dalam usaha memujuknya untuk menangkap Najib sebelum ini,"katanya ketika ditemui media di luar Balai Polis Butterworth di sini petang semalam.

Terdahulu Thanenthiran bersama beberapa ahlinya membuat laporan bagi menggesa polis menyiasat pendedahan yang dibuat Mohamed Apandi sebelum ini.

Katanya, Gopal Sri Ram harus diheret ke muka pengadilan dan disiasat mungkin berlaku salah guna kuasa ketika komplot ini dilakukan.

"Beliau juga harus diberhentikan daripada terlibat dengan kes mahkamah yang melibatkan Najib kerana mungkin berlaku ketidakadilan sepanjang proses perbicaraan selain konflik kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Gopal Sri Ram perlu akur dengan melepaskan segala jawatannya termasuk sebagai pihak pendakwaan berkaitan dengan kes Najib kerana tindakannya yang tidak berintergriti kini menimbulkan banyak kesangsian,"katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Mohamed Apandi mendedahkan Dr Mahathir pernah cuba memujuknya agar menangkap Najib yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.

Menerusi catatan laman Facebooknya, Mohamed Apandi mendakwa permintaan itu dibuat Dr Mahathir menerusi Gopal Sri Ram.

"Pada petang Januari 2018, Sri Ram bersama seorang peguam muda berbangsa Cina datang ke rumah saya kerana mahu bercakap secara peribadi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apandi Ali dakwa Tun M hantar Gopal Sri Ram pujuk tangkap Najib