Belum tentu mula awal

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

MASIH belum ada kepastian sama ada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini boleh disambung lebih awal walaupun kerajaan telah memberikan kelonggaran untuk setiap pasukan memulakan latihan 15 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk menyambung saingan liga hanya akan diputuskan oleh kerajaan mengikut keadaan semasa pandemik Covid-19 di negara ini.

“Memang ia perkara positif di peringkat awal apabila kerajaan mengumumkan latihan boleh dimulakan. Tetapi ia bukan gambaran bila saingan liga boleh dimulakan, sama ada diawalkan atau mengikut jadual yang kita jangkakan pada September.

“Segala-galanya akan diputuskan oleh pihak kerajaan nanti dengan mengambil kira banyak perkara berkaitan Covid-19. Buat masa ini, kita ambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Terdahulu, kerajaan memberikan kelonggaran kepada semua atlet termasuk pasukan Liga-M untuk kembali menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Situasi itu ternyata memberikan kelegaan kepada setiap pasukan yang bertanding dan wujud tanggapan awal oleh sesetengah pihak bahawa saingan liga musim ini berkemungkinan boleh disambung lebih awal.

Dalam pada itu, Ab Ghani berpuas hati dengan maklum balas daripada setiap pasukan yang menyatakan komitmen tinggi mereka untuk mematuhi setiap SOP yang diberikan.

“Saya berharap kesemua pemegang taruh Liga-M dapat mengikuti sepenuhnya dalam soal pelaksanaan setiap SOP. Berdasarkan pemahaman, saya nampak semua pasukan agak jelas dalam setiap perkara semasa sesi penerangan yang kita lakukan.

Artikel Berkaitan:

“Jika semua pasukan mampu penuhi setiap SOP yang digariskan pada sesi latihan fasa satu ini dan kes terbaharu wabak terus mencatatkan jumlah yang rendah, kita mungkin dapat melakukan latihan secara kontak bagi sesi latihan fasa dua.

“Disebabkan itu saya mengharapkan kejujuran daripada semua pemain dan pegawai terlibat dalam pematuhan SOP ini bagi memastikan tiada halangan untuk semua pasukan mengadakan latihan,” jelasnya.