Tolak ICERD tindakan tepat, bertanggungjawab

A
A

KOTA BHARU – Keputusan kerajaan untuk tidak menerima ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), adalah satu tindakan tepat dan bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli berkata, dalam konteks Malaysia, perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara sudah menjamin warganegara yang meliputi pelbagai aspek sejak kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

“Untuk itu, tidak timbul aspek diskriminasi atau penindasan terhadap mana-mana pihak di negara ini. Tetapi satu yang perlu difahami ialah walaupun Perlembagaan Persekutuan menjadi pegangan kepada kita di Malaysia namun tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi undang-undang.

“Jika sesuatu tindakan itu menyalahi undang-undang maka mereka akan diadili institusi penguatkuasaan dan kehakiman. Tanpa undang-undang masyarakat akan menjadi kelompok gasar yang sememangnya tidak secocok dengan keadaan masyarakat makmur dan progresif pada hari ini,” katanya.