Pasangan kekasih ditahan edar dadah

Abd Jalil (empat dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas di Cameron Highlands pada 4 Jun lalu.
Abd Jalil (empat dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas di Cameron Highlands pada 4 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang menahan sepasang kekasih yang dipercayai dalang pengedaran dadah di negeri ini pada 4 Jun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, dalam serbuan itu polis merampas 4.46kg dadah disyaki jenis syabu dan heroin bernilai RM40,645 di sebuah apartmen di Cameron Highlands antara jam 3.45 petang dan 4.10 petang.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 33 tahun dipercayai menyamar sebagai pemandu teksi bagi mengelirukan pihak polis ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengedar dadah di sekitar Raub dan Lipis.

"Operasi khas dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dibantu JSJN daerah Raub menahan seorang lelaki di sebuah apartmen di Cameron Highlands pada jam 3.45 petang dan menemui dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4.45 gram.

"Siasatan lanjut membawa pula kepada penangkapan seorang wanita berusia 39 tahun di apartmen sama dan merampas 5.09 gram dadah jenis syabu. Ujian urin mendapati mereka positif methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkenaan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Bahagian JSJN, Superintendan Mohd Azam Ab Razak dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, polis Pahang antara kontinjen tertinggi membuat pertuduhan mahkamah membabitkan pelanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac hingga 9 Jun lalu.

"Jumlah tangkapan 1,278 orang dengan 282 orang dikenakan kompaun. Jumlah kertas siasatan dibuka pula sebanyak 656 kes dengan jumlah pertuduhan 557 kes iaitu 85 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadikan polis Pahang antara kontinjen paling tinggi membuat pertuduhan dalam tempoh 85 hari PKP dan PKPB," katanya.

Katanya, statistik pegawai dan anggota warga PDRM Pahang yang disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19) ialah 139 orang positif, 125 orang bebas Covid-19 manakala 14 daripadanya masih menunggu keputusan.