SPR pamer rang daftar pemilih tambahan di 915 lokasi

Azhar Azizan Harun -Foto Sinar Harian Rosli Talib
Azhar Azizan Harun -Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 80,766 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 18,989 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lepas (ST1/2020).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi tempoh berkenaan akan dipamerkan di 915 tempat pameran RDPT ST1/2020 di seluruh negara selama 14 hari mulai esok.

Bagi pameran RDPT ST1/2020 itu katanya, SPR tidak meletakkan salinan buku atau hardcopy RDPT, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod Respon Pantas (QR) RDPT bagi bahagian pilihan raya parlimen yang berkenaan sahaja.

“Kaedah ini adalah untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semakan RDPT ST1/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah iaitu mengimbas kod QR di 915 tempat pameran, melayari portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST1/2020 yang disediakan.

“Kesemua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST1/2020. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan di dalam RDPT ST1/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST1/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

"Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT diadakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhar berkata, semasa tempoh Pameran RDPT ST1/2020, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih yang telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002.

Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8892 7018, menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri, melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama. - Bernama