Kerajaan dicadang buka semula permohonan GKP

 Mohd Syahbuddin Hashim
Mohd Syahbuddin Hashim
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan dicadang melanjutkan tempoh atau membuka kembali permohonan bagi program Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membolehkan lebih ramai golongan peniaga dan penjaja kecil menikmati manfaat tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM), Mohd Syahbuddin Hashim berkata, program berkenaan dilihat berupaya membantu golongan tersebut yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada golongan berkenaan sebelum ini berikutan tempoh permohonan GKP tersebut dikatakan agak singkat.

“Saya melihat GKP berupaya membantu ramai usahawan luar bandar yang terjejas khususnya di Gua Musang,” katanya kepada Sinar Harian.

GKP merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu peniaga kecil dan sederhana di negara ini dari segi pembayaran bantuan tunai kepada yang layak sebanyak RM3,000 secara one-off atau sekali beri.

Bantuan tersebut diberikan kepada pemohon yang lulus permohonan berdasarkan syarat-syarat ditetapkan termasuk berdaftar dengan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) sebelum 31 Disember 2019.

Tempoh akhir permohonan GKP adalah pada 15 Mei lalu, manakala semakan status permohonan adalah pada 3 Jun 2020.

Mohd Syahbuddin berkata, bagi yang menerima kemudahan kewangan tersebut, mereka perlu memanfaatkannya supaya ia dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan perniagaan pasca PKP.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan program khas melibatkan pertanian moden bagi membantu golongan asnaf di negara ini menjana pendapatan, sekali gus keluar daripada paras kemiskinan.

Katanya, kerajaan boleh mengambil langkah tertentu termasuk memecahkan lot-lot tanah terbiar supaya diusahakan kepada yang berminat, selain menyediakan bantuan sokongan pertanian seperti anak pokok dan baja.

“Situasi itu dilihat dapat membantu golongan asnaf berdikari dan mengubah kehidupan mereka yang selama ini bergantung dengan bantuan yang ditawarkan kerajaan.

“Kita berharap sekurang-kurangnya projek tanaman itu dapat meringankan beban perbelanjaan dan tanaman asas itu memadai buat keluarga asnaf meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menyambut baik bayaran 'one off’ atau sekali beri sebanyak RM300 kepada 300,000 orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Mohd Syahbuddin mengakui, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban asnaf sambil memberitahu pejabat Peka GM turut dikunjungi golongan tersebut yang terkesan akibat Covid-19 untuk meminta bantuan, sama ada wang belanja atau bekalan makanan.

“Kita memahami masalah itu kerana kebanyakan mereka tidak boleh keluar rumah atas faktor pekerjaan yang tidak sesuai dilakukan dalam waktu PKP lalu,” katanya berharap golongan tersebut mengamalkan sikap berjimat-cermat untuk membeli keperluan khususnya makanan harian buat keluarga.