Guru rugi RM10,000 diperdaya 'pegawai LHDN'

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Seorang guru berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM10,000 lesap selepas diperdaya individu yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 54 tahun dikatakan telah menerima panggilan daripada suspek kira-kira jam 10 pagi.

"Suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'pegawai LHDN' mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90.

"Mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebelum suspek menyambungkan panggilan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Bank Negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, selain itu, mangsa telah ditakutkan oleh suspek dengan mendakwa mangsa juga terlibat dengan penglibatan jenayah pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Katanya, bimbang dengan dakwaan itu, mangsa mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang daripada akaun banknya ke akaun yang diberikan suspek.

"Mangsa menyedari dirinya tertipu selepas bayaran terbabit dilakukan," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: