'Bo...lah dok baloh politik'

Mustapa
Mustapa
A
A
A

RANTAU PANJANG - "Bo...lah dok baloh politik (hentikan perbalahan politik), sebaliknya berganding bahu pulihkan negara," itu luahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika diminta mengulas situasi politik semasa negara yang berdepan pelbagai kemungkinan termasuk perubahan kerajaan atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat.

Mustapa berkata, rakyat sudah muak dengan perbalahan politik yang sedang berlaku ketika ini sebaliknya mahu pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) memulihkan semula ekonomi negara selepas berdepan penularan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah pemulihan ekonomi antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Penerimaan rakyat terhadap pakej (ekonomi) ini amat baik dan mereka mahu pemulihan berlaku dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja ke ECER Rantau Panjang di sini hari ini.

Mustapa (kiri) ketika mendengar taklimat semasa lawatan beliau ke ECER Rantau Panjang.
Mustapa (kiri) ketika mendengar taklimat semasa lawatan beliau ke ECER Rantau Panjang.

Menurutnya, bermula 4 Mei lalu kerajaan telah memutuskan membuka semula kegiatan ekonomi selepas ditangguhkan sementara bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, berpandukan kepada laporan 70 peratus rakyat sudah kembali untuk bekerja sekali gus membuka semula kegiatan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Fokus utama kerajaan ialah untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang telah memberikan impak negatif kepada rakyat.

"Bukan sahaja Malaysia, seluruh negara turut terkesan dengan Covid-19. Jadi kestabilan politik dan ekonomi perlu dipacu secara seiring. Lupa seketika politik, apabila sampai masa (PRU) kita 'berperang' semula," katanya.

Ahli Parlimen Jeli dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berharap ahli politik memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi negara.

Katanya, hal ini bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.