Ahmad Idham kembali terajui Finas

AHMAD IDHAM
AHMAD IDHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kembali dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa semalam setelah melepaskan kerusi panas itu tidak sampai tiga bulan lalu.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, pelantikan itu untuk tempoh dua tahun dan akan berakhir pada 6 Jun 2022.

"Kami berbesar hati ingin mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas yang baharu.

"Semoga dengan pelantikan beliau ini, Finas akan terus menjana kecemerlangan sebagai sebuah badan yang memaju, menggalak dan memelihara kemajuan industri perfileman tanah air," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Idham sebelum ini memilih untuk menamatkan kontraknya lebih iaitu pada 10 Mac lalu walaupun tempoh sebenar kontraknya akan berakhir pada 10 Mei tahun depan selepas memegang jawatan itu sejak 11 Mac 2019.

Bagaimanapun, kerusi yang ditinggalkan Ahmad Idham masih belum digantikan hingga beliau dilantik semula.

Sementara itu, Zakaria berkata, Finas merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang telah terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) dengan mendapatkan insentif dan dana.

"Kami menyambut baik dan berterima kasih atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara akan dikawal selia oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang pastinya akan memberi manfaat kepada pemegang taruh industri," katanya.