Salah guna jentera kerajaan, PH cakap tak serupa bikin

Khairy mengunjungi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, hari ini.
Khairy mengunjungi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, hari ini.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - PH disifatkan cakap tidak serupa bikin apabila menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan kempen pilihan raya.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, sedangkan sebelum ini PH selalu menuduh BN menyalahgunakan jentera kerajaan.

"Tetapi sekarang rakyat boleh lihat PH sendiri yang cakap tak serupa bikin. Contoh terbaru ialah kenderaan Jabatan Hutan digunakan untuk tujuan kempen pilihan raya dan dibalut dengan bendera PH.

"Ini tak termasuk lawatan menteri sempena PRK dengam alasan kebetulan atau dirancang awal. Ia menunjukkan tindakan PH guna jentera kerajaan ini semakin bertambah," katanya kepada media selepas mengunjungi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, hari ini.

Hari ini tular gambar sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik Kerajaan Negeri Pahang digunakan untuk kempen pilihan raya PH.

Seorang timbalan menteri didakwa telah memohon penggunaan kenderaan tersebut bagi tujuan urusan rasmi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kenderaan tersebut telah diambil semula serta-merta selepas didapati disalahgunakan untuk tujuan berkempen.

Dalam pada itu, Khairy yakin penduduk Cameron Highlands tidak akan dipinggirkan kerajaan Persekutuan walaupun mereka mengundi BN.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan kerajaan baru ini tidak akan menghukum mana-mana kawasan yang tidak beri sokongan kepada PH.

"Jika pengundi Cameron Highlands terus pilih BN, maka PH kena tunjuk ini Malaysia Baru. Pembangunan akan terus disalurkan kepada Cameron Highlands berdasarkan keperluan masyarakatnya," katanya.