KWSP sambut baik geran padanan bantu pekerja ekonomi gig

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan pemberian geran padanan oleh kerajaan untuk pekerja dalam sektor ekonomi gig untuk membuat simpanan KWSP mereka melalui program i-Saraan.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, usaha kerajaan adalah tepat pada masanya bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan.

"Tahun ini adalah tahun yang tidak menentu dan mencabar buat semua, ditambah pula dengan keadaan pandemik yang telah mengubah landskap pekerjaan kita.

"Namun, adalah sesuatu yang memberangsangkan apabila kita melihat ramai individu dapat memanfaatkan peluang yang muncul sepanjang tempoh krisis ini.

“Kami maklum bahawa ramai yang memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa ini.

"Pekerja platform gig di Malaysia, terutamanya pemandu dan pengendali penghantaran, telah menjadi nadi ekonomi negara kita dalam bulan-bulan yang mencabar ini.

"Oleh kerana mereka secara teknikalnya bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka membuat simpanan bagi masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri.

Artikel Berkaitan:

Ciri utama kemudahan ini adalah pemberian insentif khas kerajaan sebanyak 15 peratus (tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun) kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang telah mendaftar dan mencarum dalam program itu.

Hari ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi yang bertujuan menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig dan menggalakkan pekerja platform gig untuk menyimpan demi masa depan.

Dalam pada itu, Alizakri berkata, KWSP berharap insentif kerajaan tersebut akan mendorong golongan terbabit untuk mula menabung.

"i-Saraan adalah caruman secara sukarela, tetapi ahli KWSP di bawah program ini akan mendapat faedah yang sama dengan ahli KWSP yang bekerja sepenuh masa, ditambah dengan sumbangan tambahan daripada kerajaan untuk memberi insentif kepada mereka agar lebih banyak menabung,” ujarnya.