'Saya takkan letak jawatan'

Mohd Redzuan ketika ditemui pada sidang akhbar di kediamannya, di sini hari ini.
Mohd Redzuan ketika ditemui pada sidang akhbar di kediamannya, di sini hari ini.
A
A
A

KAJANG - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengekalkan pendirian terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus menafikan akan meletak jawatan dalam Kabinet.

Beliau berkata, spekulasi itu wujud kerana ada kumpulan tertentu yang mahu menggugat kestabilan politik negara.

"Saya tidak meletak jawatan dan tidak akan meletak jawatan malah akan terus bekerjasama dengan barisan Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan negara terutama dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar akibat wabak Covid-19," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan mengenai dakwaan berkomplot dengan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pertemuan dengan Dr Mahathir hanya perbincangan peribadi bagi mencari titik kesatuan dalam Bersatu.

"Saya memaklumkan Dr Mahathir bahawa saya bertanggungjawab memastikan kesatuan itu wujud kembali.

"Saya juga bertemu dengan pemimpin politik lain untuk mendapat pandangan situasi politik negara, bagaimana mahu keluar daripada keadaan ini," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu Bersatu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkata, hala tuju Bersatu kini jelas hasil keputusan mesyuarat malam tadi.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin meyakinkan bahawa Bersatu tidak akan lari daripada landasan perjuangan asal mengikut Perlembagaan dasar dan peraturan asal," katanya.

Nama Redzuan sebelum ini disebut sebagai menteri yang bakal meletak jawatan daripada Kabinet Muhyiddin.

Spekulasi tersebut dikuatkan lagi dengan pertemuan beliau bersama Dr Mahathir.