Empower bantu pelajar susah

Wan Muhammad Haziq Hakimi mengakui menerusi program Empower telah menukar dirinya daripada seorang pelajar yang lemah kepada cemerlang.
Wan Muhammad Haziq Hakimi mengakui menerusi program Empower telah menukar dirinya daripada seorang pelajar yang lemah kepada cemerlang.
A
A
A

PROGRAM Pembangunan Kecemerlangan Akademik (Empower ECER Latihan Akademik) adalah salah satu inisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di negeri-negeri di bawah Wilayah Pantai Timur yang dijalankan menerusi kolaboratif strategik bersama beberapa universiti awam.

Menyasarkan penyertaan daripada pelajar dengan pencapaian akademik yang sederhana/lemah, program Empower memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapat kemudahan tuisyen dan bimbingan khususnya bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melaluin konsep yang menggabungkan kelas tambahan formal dan aktivit pembangunan sahsiah, program ini ternyata amat bermanfaat di dalam melahirkan pelajar yang holistik serta berketerampilan.

Program Empower bagi tahun 2019 yang telah dijalankan oleh ECERDC dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan disokong oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah memberi manfaat kepada hampir 1,800 pelajar di tiga negeri.

Program itu melibatkan pelajar di empat daerah di Terengganu (Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu), empat daerah di Pahang (Temerloh, Jerantut, Maran, Rompin) dan satu daerah di Johor iaitu Mersing.

Dalam masa sama, ECERDC dan UniSZA dengan sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut menjalankan program Khas Empower Akademik bagi 118 pelajar orang asli di tiga sekolah rendah di daerah Rompin, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Secara keseluruhan Program Empower ECER-UniSZA bagi tahun 2019 telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan peserta dari segi sasaran peningkatan akademik.

Lebih manis lagi, 17 orang daripada 900 peserta UPSR telah berjaya mencapai keputusan sekurang-kurang 5A, sementara 77 orang daripada 900 peserta SPM telah mencapai keputusan cemerlang 5A ke atas.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan program

Bagi Nur Shafira Erryana Mohd Khairi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kemaman, Terengganu, anak seorang ibu tunggal yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan, program Empower telah memberikan kekuatan kepadanya untuk lebih bermotivasi sehingga berjaya mencapai keputusan 4A dalam UPSR.

Katanya, Empower telah berjaya mengubah dirinya daripada hanya seorang pelajar dengan pencapaian sederhana kepada cemerlang dan muncul sebagai pelajar terbaik di sekolahnya.

Nur Shafira Erryana gembira meraihkan kejayaan bersama ibu dan adiknya.
Nur Shafira Erryana gembira meraihkan kejayaan bersama ibu dan adiknya.

Berkongsi perasaan sama, Mustysyarudin Arshad dari SK Jengka 17, Maran, Pahang iaitu anak bongsu daripada 16 adik-beradik yang tinggal bersama ibunya seorang orang kelainan upaya (OKU), mengakui program Empower memberinya peluang mendapat ilmu tambahan menerusi latihan dan tunjuk ajar di dalam kelas Empower sebagai pelengkap kepada kelas formal di sekolah.

Hasilnya, Mustysyarudin berjaya mencapai keputusan 5A di dalam peperiksaan UPSR lalu dan berbangga kerana berjaya menyambung persekolahan menengah di MRSM Muadzam Shah, Pahang.

Bagi peserta Program Khas Empower anak-anak orang asli, Waridatul Nurinsani Rosmik dari SK Bukit Serok Rompin, program Empower yang dijalankan di sekolahnya benar-benar bermanfaat.

Tambahan pula keluarganya tidak mampu untuk menghantarnya ke kelas tuisyen kelolaan pihak swasta.

Hidup di kawasan luar bandar dalam keadaan serba kekurangan, ternyata peluang menyertai program Empower benar-benar dimanfaatkan dan memberi kekuatan kepada Waridatul untuk lebih berjaya.

Ini dibuktikan dengan pencapaian cemerlang 4A dalam UPSR yang lalu dan dia kini menyambung persekolahan menegah di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan Pahang.

Keberkesanan program Empower memberi kejayaan 4A kepada pelajar orang asli, Waridatul Nurinsani pada UPSR lalu.
Keberkesanan program Empower memberi kejayaan 4A kepada pelajar orang asli, Waridatul Nurinsani pada UPSR lalu.

Pelajar cemerlang

Sementara itu, bagi anak seorang buruh, Nurshafiza Roslan dari SMK Pulau Serai, Terengganu berkata, selain asuhan guru-guru di sekolah, penyertaannya dalam program Empower telah membantunya mencapai keputusan 7A dalam SPM.

Ia sekali gus menjadi pendorong kepadanya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang pendidik. Kini, Shafiza sedang menunggu keputusan permohonan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Nur Aina Nadhirah Nor Azli dari SMK Bukit Sawa, Marang yang kehilangan ibu ketika berumur 7 tahun, tinggal bersama tiga adik-beradik dan dijaga neneknya selepas ditinggalkan bapa, mendapat bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan.

Dalam kesukaran hidup, dia berjaya memperolehi keputusan 5A dalam SPM yang lalu. Bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik Nur Aina berharap dapat menyambung pengajian di dalam bidang berkaitan.

Seorang lagi peserta Program SPM yang juga anak seorang buruh, Wan Muhammad Haziq Wan Mazlan dari SMK Sungai Retang, Jerantut, memberitahu gabungan aspek pembangunan sahsiah dan peningkatan akademik menerusi program Empower itu telah menukar dirinya daripada seorang pelajar yang lemah kepada cemerlang.

Keputusan 5A yang dicapai di dalam peperiksaan yang lalu jauh lebih baik berbanding pencapaian terbaik 5C yang dicapai semasa di Tingkatan 4.

Secara keseluruhan, program Empower ECER telah membantu di dalam pembangunan modal insan khususnya dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan holistik di kalangan pelajar luar bandar dan dari keluarga kurang berkemampuan.

Konsep kolaboratif diantara ECER, universiti awam di pantai timur, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta sokongan daripada kerajaan negeri dan pimpinan tempatan telah membuahkan hasil yang cukup baik sejak tahun 2010 program ini diperkenalkan di Wilayah Pantai Timur.