X

Kindly register in order to view this article
!

Arsenal rugi jual Aubameyang

Aubameyang dianggap sebagai 'mesin gol' terbaik The Gunners sejak beberapa musim kebelakangan ini.
A
A

PENYERANG, Pierre-Emerick Aubameyang dilabel aset penting skuad The Gunners berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam beberapa musim saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut legenda Liverpool, Jamie Carragher, status cemerlang pemain antarabangsa Gabon itu yang mempunyai baki kontrak setahun lagi kini menjadi tumpuan beberapa kelab besar Eropah.

“Arsenal perlu segera membuat keputusan mengenai masa depan Aubameyang.Ketika ini, dia sudah menjadi pemain penting dalam misi Arsenal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik liga.

“Sekiranya Aubameyang pergi meninggalkan Arsenal, maka ia akan meninggalkan kelompangan yang besar di bahagian serangan The Gunners. Kami pernah mengalami situasi sama di Liverpool sebelum ini.

“Sebagai sebuah kelab, pastinya anda ingin memacu kelab dengan pemain-pemain ini sebagai tonggak. Tetapi jika mereka ingin pergi, seharusnya mereka pergi sejak awal lagi,” katanya.

Sejak menyertai The Gunners pada Januari 2018 dari kelab Jerman, Borussia Dortmund, pemain berusia 31 tahun itu adalah nadi utama Arsenal bagi mendapatkan gol.

Aubameyang meledak 61 gol dalam 97 penampilan, sekali gus menyebabkan The Gunners tidak mahu kontraknya tamat begitu sahaja selepas melihat pemergian Aaron Ramsey secara percuma sebelum ini.

Menurut laporan media, Arsenal bersedia melepaskan Aubameyang dengan nilai 30 juta pound (RM163 juta) - separuh daripada harga yang dibayar ketika membelinya dari gergasi Bundesliga berkenaan.

“Arsenal mungkin bercadang menjualnya pada musim panas nanti. Namun, saya rasa tidak mudah untuk melepas pemain berkualiti bintang yang selalu tampil dengan aura luar biasa setiap musim.

“Kalau saya berada dalam pihak pengurusan Arsenal, saya akan cuba mempertahankan Aubameyang. Ini kerana dia akan memberikan peluang yang lebih besar bagi Arsenal untuk mengakhiri cabaran dalam kelompok empat terbaik musim ini,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!