X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M berdamailah dengan Muhyiddin: Qiam

Surat terbuka yang diberikan Qiam kepada Dr Mahathir hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Gerakan Qiam (Qiam) merayu agar Tun Dr Mahathir Mohamad berdamai dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menamatkan segera kemelut politik yang menyusahkan rakyat dan negara.

Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya merayu agar Dr Mahathir berhati murni dan berjiwa besar untuk menerima hasrat perdamaian daripada Muhyiddin sekali gus menamatkan persengketaan politik yang amat merugikan.

Situasi sekarang katanya, adalah waktu yang tepat untuk Dr Mahathir membantu kerajaan yang sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara kita telah membawa berbagai kesusahan kepada rakyat dan mengancam ekonomi negara.

"Justeru, harapan rakyat terutama orang Melayu adalah amat tinggi agar persengketaan politik orang Melayu dihentikan segera dan digantikan dengan persefahaman dan perdamaian demi kebaikan masa depan anak cucu di bumi ini," katanya dalam surat terbuka kepada Dr Mahathir hari ini.

Februari lalu, kemelut politik negara tercetus apabila Dr Mahathir bertindak meletakkan jawatan Perdana Menteri akibat pergolakan dalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga Muhyiddin dilantik menggantikan jawatan itu dan terbentuknya kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Rentetan itu, berlaku krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Dr Mahathir yang ketika itu pengerusi parti itu membantah tindakan presiden partinya, Muhyiddin menjalin hubungan dengan UMNO dalam pembentukan PN.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, rakyat faham Dr Mahathir terlalu marah dan tidak mahu bersekongkol dengan kepimpinan UMNO yang mengamalkan rasuah.

Namun katanya, individu yang disabitkan dengan kesalahan itu sedang dihadapkan di mahkamah selain Muhyiddin sendiri telah berjanji bahawa kerajaan pimpinannya tidak sekali-kali akan mengganggu proses mahkamah yang sedang berlangsung.

"Rakyat juga yakin dan menyerahkan kepercayaan kepada proses mahkamah dalam perkara berkenaan. Jika perasuah didapati bersalah, hukuman setimpal akan dikenakan ke atas mereka.

"Qiam merasakan adalah tidak adil jika Dr Mahathir terus memusuhi Tan Sri Muhyiddin kerana meninggalkan PH dan menjalinkan persahabatan silaturahim sesama bangsa dan seagama dengan UMNO dan Pas, dua parti politik Melayu yang terbesar di negara ini.

"Malahan, Dr Mahathir sendiri pernah berulang kali menyeru supaya parti-parti politik Melayu berdamai bagi menjamin kuasa politik di bumi ini kekal di tangan bangsa kita," katanya.

Berikutan itu katanya, amat tepat jika Dr Mahathir menyokong kerajaan PN kerana ia diterajui oleh Presiden Bersat iaitu parti yang Dr Mahathir sendiri terlibat menubuhkannya, yang didokong oleh UMNO iaitu parti yang menyokong negarawan itu selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!