Ahli, pemimpin UMNO sokong PRU15 awal

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri), dan Razali Ibrahim
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri), dan Razali Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli dan pemimpin UMNO menyokong Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal jika perlu dan yakin gabungan parti itu dengan Pas sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya umum itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau yakin gabungan parti itu sudah bersedia malah kombinasi dua parti itu juga mempunyai peluang cerah untuk menang PRU15.

“Saya yakin UMNO bersama Pas sudah bersedia untuk PRU15 jika perlu walaupun rakyat masih mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberi lebih masa untuk menstabilkan krisis ekonomi kesan wabak Covid-19.

“Tetapi jika masalah dalaman Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan sabotaj dari pembangkang PN berterusan, mungkin rakyat akan sokong diadakan 'snap election' dan saya yakin kombinasi sekarang ada peluang cerah untuk menang,” katanya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Najib, Ahmad Zahid bincang persediaan PRU15

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi isyarat bahawa parti itu telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 menerusi catatan di Facebook Presiden UMNO itu hari ini.

Kesediaan Presiden UMNO itu dinyatakan selepas beliau menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di rumahnya malam tadi dengan memuat naik gambar bersama Najib di Facebooknya awal pagi hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin. Turut kelihatan berdasarkan gambar yang dimuat naik ialah Datuk Nazim Tun Razak dan Datuk Nizam Tun Razak yang juga adik kepada Najib.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, seharusnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia bila-bila masa bagi menghadapi PRU15 dengan memastikan seluruh jentera berfungsi.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yakin peluang kemenangan juga terbuka luas sekiranya keputusan itu diterima dengan baik jentera parti di setiap peringkat.

“Harusnya memang sudah bersedia. Kalau ada pun (yang masih perlu dilakukan) ia berkaitan penentuan kerusi yang akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi bersama parti-parti komponen.

“Jika ia dapat diterima dengan baik dan seluruh jentera berfungsi lancar maka peluang kemenangan terbuka luas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - UMNO rancang jatuhkan Muhyiddin? - A Kadir Jasin

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), A Kadir Jasin mempersoalkan kesediaan Presiden UMNO itu jika ia bermaksud parti dipimpin Ahmad Zahid itu merancang mencetuskan pilihan raya lebih awal.

Beliau dalam catatannya di Facebooknya hari ini, mempersoalkan adakah UMNO, BN sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam dalam PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bagi memaksa PRU15 diadakan lebih awal?

Menurutnya, bubarkan Parlimen dan adakan pilihan raya umum lebih awal adalah mantera UMNO atau adakah kedua-dua mereka hendak membayangkan dan meyakinkan penyokong bahawa mereka akan terlepas kes jenayah di mahkamah.