Tiga pemandu mabuk ditahan

Anggota trafik sedang menjalankan ujian kandungan alkohol ke atas pemandu kenderaan.
Anggota trafik sedang menjalankan ujian kandungan alkohol ke atas pemandu kenderaan.
A
A
A

PETALING JAYA – Seramai tiga lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol telah ditahan dalam ‘Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah’ di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penahanan tiga lelaki berusia 28 hingga 42 tahun itu dbuat hasil pemeriksaan dilakukan polis ke atas 78 pengguna jalan raya dan 60 buah kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan trafik dan kesemua mereka ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 45 (A) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil tinjauan operasi yang dijalankan, jelas menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang mengambil minuman keras (beralkohol) sebelum memandu atau menunggang kenderaan, tindakan ini sangat membahayakan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu Nik Ezanee berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 830 orang dan sebanyak 803 buah kenderaan sepanjang Op Alkohol sejak 27 Mei sehingga semalam.

“Kita telah menahan 23 orang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada yang telah ditetapkan.

"Statistik menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu Op Alkohol dijalankan. Kita percaya ianya disebabkan liputan meluas pihak media berhubung isu keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat agar bersama-sama dengan pihak polis bagi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai agar tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

Artikel Berkaitan:

“Keselamatan anda adalah keutamaan kami. Justeru, kita akan meneruskan operasi ini untuk memantau pengguna jalan raya yang melalui kawasan di dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” katanya.